Malaysia dan China perkukuh lagi kerjasama dalam aspek keselamatan

Malaysia dan China perkukuh lagi kerjasama dalam aspek keselamatan

BEIJING – Malaysia dan China menyatakan komitmen mengukuhkan kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang dan aspek keselamatan dua negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia bersedia mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dengan China dalam penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan.

“Ini juga termasuk usaha membanteras pelbagai jenayah rentas negara mengikut undang-undang selain kesungguhan dalam menjaga keselamatan dan kestabilan kedua-dua negara,” katanya dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) ke-5 Mengenai Kerjasama Dalam Mencegah dan Memerangi Jenayah Transnasional, di sini, semalam.

Saifuddin Nasution mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama Ahli Majlis Negara China merangkap Menteri Keselamatan Awam, Wang Xiaohong.

Dalam pada itu, Wang berkata, berdasarkan pimpinan strategi kedua-dua negara, China akan bekerjasama dengan Malaysia untuk mengukuhkan pertukaran peringkat tinggi dan kerjasama praktikal mengenai penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan selain mempromosikan pembangunan komuniti China-Malaysia demi masa depan bersama.

“Kita harap kedua-dua negara akan terus mengukuhkan kerjasama memerangi keganasan, penipuan telekomunikasi dan perjudian haram rentas sempadan, usaha sama antidadah, rangkaian keselamatan dan pembangunan kapasiti polis,” katanya seperti dilaporkan Xinhua. – AGENSI

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *