KANGAR – Perikatan Nasional (PN) perlu mengulangi kemenangan di kerusi N.20 DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti bagi mengimbangi kedudukan politik di Pulau Pinang yang diperintah DAP.
Al-Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berharap, sekiranya parti itu diberi peluang mewakili PN sekali lagi pada PRK ini, akan meraih majoriti undi untuk kerusi tersebut.
“Kita nak imbangkan kedudukan politik terutama di Pulau Pinang yang selama ini diperintah oleh DAP dan banyak karenahnya yang menyentuh hati kecil orang Islam di sana.
“Maka kita perlu ada suara-suara membela Islam di Pulau Pinang,” katanya kepada Harakahdaily di Kompleks Pas Perlis (KOMPAS), di sini semalam.
Hashim juga turut menyeru kerjasama daripada seluruh jentera PN agar menumpukan sepenuh perhatian pada gerak kerja bagi mengulangi kemenangan tersebut.
“Saya harap, tenaga yang ada akan terus membantu dan memberi sokongan kepada calon yang dipilih.
“Amat kita harapkan juga kerjasama daripada penyokong sahabat kita akan turun habis-habisan membantu kemenangan calon kita,” ujarnya lagi.
Pada PRU15 lalu, PN yang diwakili Pas memperoleh kemenangan mudah dengan majoriti 1,563 undi selepas mendapat undian 15,433 mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR.
Namun, pada 24 Mei lalu, ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya kerana mengalami komplikasi di bahagian perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kemudian menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN tersebut pada 6 Julai ini, manakala penamaan calon 22 Jun dan undi awal 2 Julai. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252