KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencuri perhatian ramai selepas memuat naik gambarnya bersama pengasas pusat beli belah Jaya Jusco, Takuya Okada.
Dr. Mahathir berkesempatan berjumpa dengan Takuya di Tokyo, Jepun, kelmarin dalam lawatannya ke negara itu.
Menerusi hantaran di akaun X, Dr. Mahathir berkata, Jusco yang kini dikenali sebagai AEON adalah antara pusat beli belah moden yang terawal dibuka di Malaysia.
Pembukaan pusat beli belah itu adalah hasil pertemuannya dengan Takuya ketika menjawat jawatan Perdana Menteri pada tahun 1983.
“Sudah banyak kali saya melawat negara Jepun. Kemudian saya mendapati Jepun mempunyai pusat membeli belah yang bagus. Pada tahun 1983, saya berjumpa dengan Takuya Okada.
“Beliau adalah salah seorang pengasas pusat beli belah Jusco atau Japan United Stores Company. Pada waktu itu, terdetik untuk memperkenalkan pusat beli belah seperti itu di Malaysia,” katanya.
Pihak Jusco kemudian menerima pelawaan kerajaan untuk membantu memodenkan industri peruncitan negara dengan membuka cawangan pertama, Jaya Jusco Dayabumi.
Siapa sangka, pasar raya yang dibuka di ruangan bawah tanah itu berjaya sebelum berkembang dan membangun beberapa pusat membeli belah di seluruh Malaysia.
“Jusco menerima kejayaan yang sangat besar. Perniagaan mereka mula berkembang dan terus membuka lebih banyak pusat beli belah di negara ini. Sekarang, Jusco atau lebih dikenali sebagai AEON boleh ditemui hampir di seluruh negara.
“AEON adalah salah satu pusat beli belah yang berjaya dan mempunyai sumbangan besar terhadap industri peruncitan negara. Saya juga berharap agar pelabur dari Jepun akan terus melabur di negara ini,” ulasnya.
Dr. Mahathir yang kini mencecah usia 99 tahun turut mendoakan Takuya yang sebaya dengannya itu dikurniakan kesihatan supaya mereka dapat berjumpa semula di Jepun pada masa hadapan.
Dr. Mahathir berada di Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-29 mengenai Masa Depan Asia di Tokyo. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252