BERITA UTAMA

Malaysia-Thailand buat perhitungan di final

KUALA LUMPUR – Malaysia akan membuat perhitungan menentang Thailand pada final acara berpasukan Sepak Takraw Piala Dunia esok (hari ini) selepas kedua-dua pasukan melepasi halangan separuh akhir sebentar tadi, lapor Berita Harian.

Beraksi di hadapan lebih 2,000 penyokong di Stadium Titiwangsa, Malaysia nyata tidak berdepan masalah menewaskan Indonesia – lawan yang hadir untuk ‘membalas dendam’ atas kekecewaan di pentas Sukan Asia 2018 dalam acara regu.

Regu pertama negara yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin memulakan aksi dengan cemerlang untuk menewaskan trio Hendra Pago, Abdul Halim Radjiu dan Jelki Ladada 15-12, 15-9 untuk membolehkan Malaysia mendahului 1-0.

Pengendali negara, Ahmad Jais Baharun seterusnya mempertaruhkan Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias untuk regu kedua dan percaturan itu berjaya menundukkan trio Indonesia yang dibarisi Rosdi selaku perejam, M Hardiansyah Muliang (pengumpan) dan M Taufik R (tekong) 15-8, 15-7 .

Kemenangan itu membolehkan Malaysia meraih kemenangan mutlak ke atas Indonesia dan dijadual bertemu Thailand yang turut tidak berdepan masalah menundukkan Korea Selatan, 2-0 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Berdasarkan kemenangan ke atas skuad Garuda itu, Malaysia yang menewaskan Thailand di pentas final acara ‘double’ dan regu baru-baru ini bakal kembali turun ke gelanggang di Stadium Titiwangsa petang esok untuk merampas gelaran berpasukan dari tangan negara Gajah Perang itu sekali gus menamatkan kemarau kemenangan 33 tahun yang kali terakhir diraih di Sukan SEA Manila 1991.

“Syukur… kita menyasarkan tiga final. Untuk acara double, regu Alhamdulillah kita juara dan malam ini dalam acara berpasukan kita ke final juga, jadi lengkap sasaran,” kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan kepada media selepas perlawanan.

“Untuk berjumpa Thailand esok, saya masih katakan 50-50 kerana di final apapun boleh berlaku. Harap pemain terus konsisten seperti di separuh akhir dan final sebelum ini. InsyaAllah dengan sokongan semua peminat di Stadium Titiwangsa yang padat dan di luar sana, tak mustahil kita boleh melakukan hatrik.

“Ini penantian 33 tahun, kali terakhir kita juara berpasukan adalah pada 1991. Masa sudah berlalu 33 tahun, saya rasa ini masa paling sesuai. Sekiranya diizinkan Allah SWT dan ada rezeki esok, InsyaAllah ada.

“Apapun, saya memberitahu pemain supaya fokus dan main habis-habisan untuk mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw di negara kita,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *