BERITA UTAMA

Azlan rancang kahwin minggu depan, sudah serah dokumen kepada imam

KUALA LUMPUR – Mohd Azlan Ishak mengaku sudah menyiapkan dokumen untuk menikahi Norhidayu Halim, ibu kepada bayi yang mengalami penyakit paru-paru kronik.

Beliau mendakwa, memang merancang untuk menikah dengan pasangannya itu sebelum ini, tetapi menangguhkannya kerana mahu mengutamakan kesihatan anaknya, Mohd Aariz Zafran.

Mereka kini dalam proses untuk berkahwin dan sudah menyerahkan dokumen diperlukan kepada seorang ustaz dipercayai imam masjid, lapor Mstar.

Bapa berusia 36 tahun itu juga tidak menyangkal pernah dinasihatkan supaya tinggal berasingan dengan Nurhidayu oleh pihak berkuasa agama kerana bersekedudukan.

Akhirnya, pasangan yang menetap di kawasan Kota Nelayan, Kuala Kedah itu akur dengan nasihat tersebut, selain merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Tok imam datang rumah saya dan memberi penjelasan mengenai proses untuk berkahwin. Katanya, proses mengambil masa seminggu untuk membolehkan kami menikah.

“Kalau tok imam sudah cakap macam itu, tak akanlah kita tak percaya pula,” jelas Azlan yang turut mendedahkan status sebenar perkahwinan Norhidayu dengan suaminya.

Menyanggah dakwaan bahawa Norhidayu adalah isteri orang, Azlan memaklumkan dokumen penceraian wanita berusia 35 tahun itu kini berada dalam milikan mereka.

“Hidayu sebenarnya sudah bercerai dengan suami dia sebelum ini. Dokumen mengenai penceraian dia dan suami pun kami sudah ada,” kata Azlan.

Difahamkan, bekas suami Norhidayu kini berada di penjara menjalani hukuman sejak 29 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, pengurusan Masjid Al Maarufi Seberang Kota menafikan dakwaan orang ramai bahawa pihaknya tidak mengambil berat terhadap pasangan tular berkenaan yang menunggang motosikal membawa bayinya ke hospital baru-baru ini.

Muhammad Hazamer Muslim selaku Pengerusi Qariah masjid itu memberitahu, sudah beberapa kali menyalurkan bantuan kotak makanan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kepada keluarga itu.

Mengulas lanjut, Hazamer menegaskan, pihaknya akan membantu proses penikahan pasangan itu, selain memaklumkan mereka terpaksa difaraqkan (dipisah) sementara sehingga selesai melengkapkan dokumen perkahwinan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *