Mufti Pulau Pinang desak siasatan telus dakwaan Muslim sertai ritual agama lain

GEORGE TOWN – Dakwaan seorang individu beragama Islam menyertai ritual keagamaan bukan Islam yang tular di media sosial perlu disiasat segera bagi memastikan kesahihan kejadian serta mengelakkan timbulnya spekulasi yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana menyentuh persoalan akidah umat Islam, terutama jika penyertaan berkenaan membabitkan upacara pemujaan atau penyembahan yang bercanggah dengan prinsip tauhid.

Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan telus, dengan mengambil kira fakta sebenar sebelum sebarang kesimpulan dibuat terhadap individu terbabit.

Menurutnya, Islam menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun penghormatan itu tidak bermakna umat Islam boleh mengetepikan batas akidah ketika berhadapan dengan amalan keagamaan yang berbeza.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Beliau berkata, perbezaan antara menghormati penganut agama lain dengan menyertai ritual keagamaan mereka perlu difahami dengan jelas supaya tidak timbul kekeliruan mengenai tuntutan akidah Islam.

“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 48, yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepada-Nya dan Dia mengampunkan dosa selain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sukki berkata, sekiranya dakwaan penyertaan dalam ritual pemujaan itu terbukti benar, perbuatan berkenaan perlu dinilai berdasarkan prinsip dan ketetapan agama Islam.

Namun, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak terburu-buru menjatuhkan hukum terhadap individu terbabit, khususnya berkaitan status akidah atau dakwaan murtad, hanya berdasarkan rakaman, gambar atau maklumat yang tersebar di media sosial.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Katanya, penentuan hukum memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek, termasuk bentuk perbuatan, niat, tahap pengetahuan dan keadaan sebenar ketika kejadian berlaku.

Sehubungan itu, pihak berkuasa agama disaran mengenal pasti kesahihan maklumat yang tersebar, meneliti jenis ritual yang didakwa dilakukan serta menyiasat kemungkinan wujud pihak yang menggalakkan atau mempengaruhi penglibatan individu berkenaan.

Sekiranya siasatan menemukan pelanggaran undang-undang syariah, tindakan sewajarnya hendaklah diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tindakan itu penting supaya masyarakat memahami bahawa persoalan akidah bukan perkara yang boleh dipermainkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan individu terbabit serta ahli keluarga yang didakwa memberikan sokongan dipanggil untuk memberikan penjelasan bagi membolehkan pihak berkuasa memahami latar belakang dan keadaan sebenar kejadian.

Menurutnya, pendekatan berkenaan perlu disertai bimbingan agama yang bersesuaian, terutama sekiranya terdapat kekeliruan mengenai pegangan kepercayaan atau amalan yang dilakukan.

Beliau berkata, usaha memperkukuh akidah tidak seharusnya terhenti pada tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pendidikan, penerangan dan bimbingan kepada masyarakat.

Mohd Sukki turut menggesa pihak berkuasa agama mempertingkat pendidikan serta pemantauan terhadap penyebaran fahaman spiritual yang mencampuradukkan unsur daripada pelbagai agama sehingga berpotensi mengelirukan umat Islam mengenai konsep ketuhanan dan ibadat.

Antara yang dibangkitkan ialah New Age Movement, iaitu aliran kerohanian yang merangkumi pelbagai kepercayaan dan amalan. Menurut beliau, pengaruh fahaman sedemikian perlu diteliti bagi memastikan umat Islam memahami batas pegangan agama mereka.

Beliau menegaskan, usaha menjaga akidah umat Islam tidak seharusnya disalahertikan sebagai tindakan menghina atau mengganggu penganut agama lain, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan berlandaskan undang-undang, kefahaman agama dan penghormatan terhadap keharmonian masyarakat majmuk.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *