PUTRAJAYA – Pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MADANI bersempena dengan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara tahun depan merupakan simbol penghargaan kerajaan terhadap sumbangan rakyat dalam pembangunan Malaysia sejak merdeka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuh dekad itu membawa makna tersendiri kerana kemerdekaan itu sendiri merupakan hadiah buat rakyat.
“Tujuh dekad itu sempena merdeka … hadiah buat rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai simbolik tujuh dasawarsa (dekad) kemerdekaan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas.
Menerusi belanjawan berkenaan, kerajaan bersetuju menyalurkan BKK sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam daripada Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.
Bantuan sebanyak RM750 turut diberikan kepada lebih sejuta pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembayaran BKK itu akan dilaksanakan sebanyak dua kali, iaitu sebelum sambutan Aidilfitri dan bersempena dengan ambang tujuh dekad kemerdekaan.
Selain itu, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 bagi setiap pembayaran, yang turut disalurkan dua kali.
Pemberian bantuan itu mencerminkan usaha kerajaan untuk memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai rakyat, selain menghargai sumbangan penjawat awam, pesara dan masyarakat secara keseluruhan sepanjang perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Malaysia bakal menyambut ulang tahun ke-70 kemerdekaan pada 2027, menandakan tujuh dekad perjalanan negara dalam membina kemajuan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Istilah dasawarsa bermaksud jangka masa 10 tahun atau dekad; tujuh dasawarsa bermakna 70 tahun.
Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat pada Jumaat dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah dengan RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta; dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.
Belanjawan MADANI Kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
