AYER KEROH – Tan Sri Dr. Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan menghasut berkaitan kemelut adat Negeri Sembilan pada Jun lalu.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara berusia 84 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan menghasut ketika berada di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira jam 1 tengah hari pada 5 Jun lalu.
Beliau didakwa menyebut kenyataan berkaitan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Antara kenyataan yang didakwa diucapkan ialah seruan supaya taat setia diberikan kepada Tunku Nadzaruddin yang disebut sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Rais juga didakwa menyatakan pelantikan berkenaan dibuat berdasarkan lunas undang-undang dan adat yang ada di Negeri Sembilan.
Berikutan itu, Rais didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Jika disabitkan, beliau boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara bagaimanapun menafikan pertuduhan tersebut.
Terdahulu, barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail bersama Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, barisan lima peguam yang mewakili Rais diketuai anaknya, Danni Rais, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan.
Peguam bela berhujah Rais telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan proses mahkamah.
Mahkamah turut dimaklumkan Rais hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan yang bakal dihadapinya kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Raja Noor Adilla membenarkan Rais diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes itu berkait dengan kemelut institusi adat dan diraja Negeri Sembilan yang tercetus selepas satu majlis pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada 5 Jun lalu.
Rais sebelum ini dilaporkan hadir dalam majlis berkenaan dan mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan Tunku Nadzaruddin.
Kedudukan tersebut bagaimanapun dipertikaikan oleh pihak yang menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Kemelut berkenaan turut mencetuskan pertikaian berkaitan Adat Perpatih, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta bidang kuasa institusi adat negeri.
Dengan pengakuan tidak bersalah hari ini, kes Rais akan diteruskan melalui proses mahkamah dan beliau kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
