PERKASA bantah pemansuhan syarat ekuiti Bumiputera 30 peratus institusi pendidikan swasta

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membantah keras sebarang cadangan untuk memansuhkan syarat pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus bagi institusi pendidikan swasta di bawah Kementerian Pendidikan.

Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, sebarang perubahan terhadap dasar berkenaan tidak seharusnya dibuat atas alasan penyelarasan, liberalisasi atau reformasi sekiranya langkah itu akhirnya menyebabkan ruang pemilikan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor strategik semakin mengecil.

Menurutnya, ketika usaha merapatkan jurang ekonomi dan memperkukuh pemilikan kekayaan Bumiputera masih menjadi agenda negara, sebarang langkah yang mengurangkan peluang Bumiputera untuk terlibat dalam pemilikan sektor pendidikan wajar dipertimbangkan secara teliti.

“Di manakah agenda memperkasa Bumiputera?

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

“Ketika jurang ekonomi belum selesai dan pemilikan kekayaan Bumiputera masih perlu diperkukuhkan, mengapa syarat yang memberi ruang kepada Bumiputera untuk terlibat dalam pemilikan sektor pendidikan pula mahu dimansuhkan?” katanya.

Beliau berkata, pendidikan bukan sekadar sektor yang menyediakan perkhidmatan akademik, sebaliknya turut membabitkan kepentingan ekonomi yang besar, termasuk pemilikan aset, pelaburan, peluang pekerjaan dan penglibatan dalam rantaian perniagaan.

Katanya, penglibatan Bumiputera dalam sektor berkenaan perlu dilihat daripada perspektif jangka panjang bagi memastikan mereka bukan sekadar menjadi tenaga kerja atau pengguna, tetapi turut mempunyai kapasiti sebagai pemilik dan peneraju industri.

“Kalau Bumiputera tidak diberikan ruang untuk menjadi pemilik dan peneraju, jangan terkejut jika akhirnya Bumiputera hanya menjadi pekerja dan pengguna dalam industri sendiri.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

“PERKASA menolak mentaliti seperti ini. Kami mahu Bumiputera menjadi pemilik, peneraju dan mempunyai penguasaan yang lebih kukuh dalam ekonomi,” katanya.

Borhan berkata, syarat pemilikan ekuiti 30 peratus itu, pada pandangan PERKASA, merupakan antara instrumen yang membolehkan penyertaan Bumiputera dalam sektor strategik dipelihara.

Beliau menegaskan, tuntutan tersebut bukan bertujuan mengambil hak pihak lain, sebaliknya memastikan Bumiputera terus mempunyai ruang dalam sektor ekonomi yang mempunyai nilai komersial dan strategik.

Sehubungan itu, PERKASA mendesak kerajaan menarik balik dan menyemak semula sebarang keputusan untuk memansuhkan syarat ekuiti Bumiputera berkenaan.

“Kerajaan tidak boleh hanya bercakap mengenai agenda Bumiputera di pentas rasmi, tetapi pada masa yang sama mengambil keputusan yang boleh mengecilkan ruang Bumiputera dalam sektor strategik.

“Jika kerajaan benar-benar serius memperkasakan Bumiputera, jangan kurangkan ruang Bumiputera, sebaliknya tambah dan kukuhkan ruang tersebut,” katanya.

Pada masa sama, PERKASA turut menggesa supaya sebarang perubahan dasar berkaitan pemilikan institusi pendidikan swasta dibuat secara telus dan mengambil kira pandangan pertubuhan Bumiputera serta pihak berkepentingan.

Borhan berkata, PERKASA tidak akan berdiam diri sekiranya kepentingan Bumiputera didakwa terus diketepikan, sebaliknya akan menyuarakan bantahan melalui saluran yang sah.

“Ini bukan soal kepentingan satu pertubuhan. Ini soal masa depan ekonomi Bumiputera, soal pemilikan dan soal masa depan generasi akan datang,” katanya.

PERKASA sekali lagi menegaskan pendiriannya supaya syarat ekuiti Bumiputera 30 peratus dikekalkan, selain ruang penyertaan Bumiputera dalam sektor pendidikan dan sektor strategik lain diperkukuhkan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *