Dari Editorial ND
APA sebenarnya sedang berlaku di Negeri Sembilan? Kemelut berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kini memasuki tahap semakin serius apabila muncul dakwaan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menandatangani dokumen berkaitan usaha menurunkan takhta baginda dalam keadaan dipaksa.
Namun, persoalannya segera berubah daripada sekadar isu tandatangan kepada satu persoalan jauh lebih besar, iaitu siapa yang memaksa Menteri Besar itu?
Lebih menarik, persoalan itu bukan hanya datang dari pihak yang menentang tindakan berkenaan, malah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mempersoalkan siapa yang didakwa memaksa Menteri Besar itu menandatangani dokumen tersebut.
Dalam masa sama, peguam yang mewakili Undang Yang Empat tampil dengan versi berbeza. Mereka menafikan Menteri Besar dipaksa dan mendakwa tandatangan itu dibuat secara sedar.
Di sinilah masalah sebenarnya bermula. Seorang Menteri Besar bukan orang biasa yang menandatangani dokumen tanpa mengetahui implikasinya. Lebih lagi apabila dokumen itu dikaitkan dengan kedudukan seorang Yang di-Pertuan Besar.
Jika benar beliau menandatangani dokumen tersebut, persoalan yang wajar ditanya ialah, apakah beliau telah membaca, memahami dan mendapatkan nasihat sewajarnya sebelum menurunkan tandatangan?
Jika jawapannya “ya”, maka dakwaan beliau dipaksa perlu diperincikan. Sebaliknya, jika jawapannya “tidak”, maka timbul pula persoalan mengenai tahap kecermatan dan tanggungjawab seorang ketua kerajaan negeri dalam mengendalikan dokumen yang mempunyai implikasi terhadap institusi diraja.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam kedua-dua keadaan, rakyat berhak mendapat penjelasan. Kalau benar dipaksa, siapa yang memaksa? Ini persoalan paling asas. Kita tidak boleh berhenti pada ayat “saya dipaksa”.
Dipaksa oleh siapa? Oleh individu? Oleh kumpulan? Oleh pihak politik? Oleh pihak yang mempunyai pengaruh terhadap kerajaan negeri? Atau wujud tekanan daripada pihak lain yang belum didedahkan kepada umum?
Persoalan ini menjadi lebih menarik apabila Ahmad Zahid sendiri dilaporkan tidak mengaitkan dirinya dengan dakwaan paksaan tersebut. Beliau, malah meminta supaya dikenal pasti pihak yang sebenarnya memaksa Menteri Besar.
Maka ruang persoalan menjadi semakin luas. Jika bukan Presiden UMNO, siapakah? Siapa yang berada di belakang rancangan itu?
Ini bukan bermaksud kita boleh terus menuduh mana-mana individu sebagai dalang, tetapi dari sudut kepentingan awam, persoalan mengenai kemungkinan wujudnya pihak yang merancang usaha menukar kedudukan Tuanku Muhriz memang perlu dijawab secara terbuka. Tambahan pula, krisis ini bukan muncul daripada ruang kosong.
Pada April 2026, Undang Yang Empat mengumumkan usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu. Kerajaan negeri (ketika itu Pakatan Harapan-PH) bagaimanapun menolak pengisytiharan tersebut.
Kemudian timbul pula pertikaian berhubung kedudukan Undang Sungai Ujong dan kesahihan proses yang membawa kepada pengumuman itu. Ini menunjukkan apa yang berlaku bukan sekadar pertelingkahan politik biasa. Ia menyentuh adat Negeri Sembilan, struktur pemerintahan beraja dan hubungan antara institusi Undang dengan kerajaan negeri.
Sebab itu persoalan mengenai siapa yang mencetuskan, mengatur atau mendorong sesuatu tindakan yang boleh membawa kepada perubahan takhta tidak boleh dipandang ringan.
Mengapa Menteri Besar menandatangani? Inilah soalan paling sukar untuk dielakkan. Sekiranya Ismail benar-benar tidak bersetuju dengan tindakan menurunkan Tuanku Muhriz, mengapa tandatangan itu diberikan?
Jika benar berlaku paksaan, apakah bentuk paksaan tersebut? Adakah terdapat ugutan? Adakah wujud tekanan politik? Adakah beliau diberi gambaran tandatangan itu hanyalah sebahagian daripada proses pentadbiran biasa? Atau adakah beliau pada ketika itu sememangnya bersetuju, tetapi kemudian mengubah pendirian?
Semua kemungkinan ini tidak boleh dijawab dengan andaian. Ia memerlukan penjelasan daripada individu yang menandatangani dokumen itu sendiri serta mereka yang hadir ketika dokumen tersebut ditandatangani.
Pada sebelah pihak, peguam Undang Yang Empat mendakwa Menteri Besar menandatangani dokumen tersebut dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan. Jika dakwaan itu benar, ia menimbulkan persoalan lebih besar terhadap penjelasan Ismail.
Bagaimanakah seorang Menteri Besar boleh menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar secara sedar, tetapi kemudian mengatakan beliau dipaksa?
Adakah “dipaksa” bermaksud dipaksa secara fizikal? Atau tekanan politik dan keadaan sekeliling yang menyebabkan seseorang merasakan beliau tiada pilihan? Perbezaan ini sangat penting.
Sebab itu siasatan yang bebas perlu menentukan bukan sahaja siapa menandatangani, tetapi dalam keadaan bagaimana tandatangan itu diperoleh.
Rakyat Negeri Sembilan tidak sepatutnya dipaksa memilih antara versi cerita yang bercanggah. Satu pihak mengatakan tandatangan dibuat secara sedar. Satu pihak lagi mengatakan tandatangan dibuat kerana dipaksa. Kemudian muncul pula persoalan daripada Presiden UMNO sendiri mengenai siapa yang sebenarnya melakukan paksaan.
Keadaan ini hanya akan menambahkan kecurigaan. Jika semuanya sah dan mengikut proses, jelaskan prosesnya. Jika tiada paksaan, jelaskan bagaimana dokumen itu ditandatangani.
Jika benar wujud paksaan, nyatakan kepada rakyat siapa yang memberikan tekanan dan bagaimana ia berlaku, dan jika wujud pihak yang merancang untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz, rakyat berhak mengetahui siapakah mereka berdasarkan bukti, bukan spekulasi.
Persoalan terbesar dalam kemelut ini bukan semata-mata mengenai nasib seorang Menteri Besar. Ia menyentuh soal maruah institusi pemerintahan Negeri Sembilan.
Institusi Yang di-Pertuan Besar mempunyai kedudukan tersendiri dalam struktur unik Negeri Sembilan. Undang Yang Empat pula mempunyai peranan penting dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar.
Oleh itu, sebarang usaha untuk mengubah kedudukan pemerintah negeri bukan perkara yang boleh berlaku secara senyap-senyap di belakang tabir.
Kalau ada proses, rakyat mahu tahu prosesnya. Kalau ada keputusan, rakyat mahu tahu asasnya, Kalau ada paksaan, rakyat mahu tahu siapa yang memaksa, dan kalau ada perancangan politik di belakang semua ini, rakyat juga berhak tahu siapa yang merancangnya.
Akhirnya, beberapa soalan besar masih menunggu jawapan. Siapakah yang menyediakan dokumen tersebut? Siapakah yang membawa dokumen itu kepada Menteri Besar? Siapakah yang hadir ketika tandatangan dibuat? Apakah nasihat undang-undang yang diberikan kepada Menteri Besar sebelum beliau menandatangani?
Jika benar berlaku paksaan, apakah bentuk paksaan itu? Siapakah yang memberikan tekanan tersebut? Mengapa Ahmad Zahid sendiri menafikan penglibatan dan kemudian mempersoalkan siapa yang memaksa Menteri Besar?
Jika tiada paksaan, mengapa Menteri Besar mendakwa sebaliknya? Dan, yang paling penting, siapa sebenarnya yang mempunyai kepentingan untuk melihat Tuanku Muhriz disingkirkan?
Itulah persoalan yang perlu dijawab. Bukan dengan tuduhan. Bukan dengan propaganda. Bukan dengan kenyataan separuh masak. Tetapi, dengan dokumen, keterangan saksi dan siasatan yang telus, kerana dalam kemelut sebesar ini, persoalan sebenar bukan lagi sekadar siapa menandatangani surat tersebut.
Persoalannya ialah siapa yang mahu surat itu ditandatangani dan untuk tujuan apa? – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
