Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali
Perjalanan pembangunan tenaga mahir negara bukanlah kisah yang bermula semalam. Malaysia telah membina rangkaian institusi TVET yang luas, melahirkan jutaan pekerja mahir serta menyokong pelbagai sektor ekonomi.
Jika dahulu kemahiran dianggap sebagai laluan kedua, hari ini TVET menjadi antara penentu keupayaan Malaysia untuk melonjak sebagai negara maju, berpendapatan tinggi dan mampan.
Namun, kejayaan masa lalu tidak menjamin kesiapsiagaan masa hadapan. Dunia pekerjaan berubah lebih pantas daripada keupayaan sesetengah sistem latihan untuk menyesuaikan diri.
Kecerdasan buatan, automasi, teknologi hijau, keselamatan siber, semikonduktor dan peralihan tenaga bukan sahaja mewujudkan pekerjaan baharu, malah mengubah kompetensi pekerjaan sedia ada.
Persoalannya bukan lagi berapa banyak institusi atau kursus yang dimiliki, tetapi sama ada kita mengetahui kemahiran yang diperlukan, lokasi permintaannya dan bila kemahiran tersebut perlu disediakan.
Fragmentasi TVET turut mencerminkan cabaran pengurusan data. Pelbagai kementerian, agensi dan institusi mempunyai sistem berdasarkan mandat masing-masing.
Kepelbagaian ini membolehkan keperluan sektor ditangani secara khusus, namun cabaran timbul apabila data belum diintegrasikan atau tidak boleh digunakan secara rentas sistem.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Tanpa hubungan data yang baik, kita hanya melihat cebisan gambaran besar. Institusi mengetahui jumlah pelatih, agensi lain mempunyai maklumat kursus, persijilan atau kebolehpasaran graduan, manakala industri mempunyai data kekosongan dan keperluan kemahiran.
Maklumat ini bernilai, tetapi terbatas jika disimpan berasingan. Negara mungkin kaya dengan data, tetapi miskin dari segi kefahaman.
Integrasi TVET tidak boleh berhenti pada penyambungan sistem. Kita perlu bergerak kepada integrasi data dan membangunkan inteligens data. Data Raya TVET ialah keupayaan strategik negara, bukan sekadar projek teknologi maklumat.
Dasar TVET Negara 2030 menyediakan hala tuju bersama, manakala Data Raya TVET menyokong perancangan dan keputusan berasaskan data. Inisiatif ini juga selari dengan RMK13, NIMP 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan aspirasi Malaysia MADANI.
Bagi tahun 2025, repositori ini merekodkan data daripada 1,991 institusi TVET yang melibatkan 10,426 kursus, dengan 230,721 kemasukan pelajar, 458,249 enrolmen dan 205,795 keluaran.
Angka ini memberikan gambaran awal pada peringkat nasional mengenai skala penawaran dan penyertaan TVET, sekali gus menyediakan asas data yang lebih kukuh untuk analisis, perancangan dan pembuatan keputusan.
Matlamat Data Raya TVET bukan semata-mata mengumpulkan data, tetapi menjawab soalan strategik iaitu apakah kursus yang ditawarkan? Di manakah kapasiti latihan berada? Apakah kemahiran yang diperlukan industri? Di manakah berlaku lebihan atau kekurangan bakat? Kursus manakah yang perlu diperluas, disusun semula atau dihentikan?
Dalam konteks ini, data permintaan (demand data) merujuk kepada maklumat tentang jenis pekerjaan, kemahiran dan kompetensi yang diperlukan oleh industri pada masa kini dan masa hadapan.
Data ini merangkumi kekosongan pekerjaan, pekerjaan kritikal, unjuran pertumbuhan sektor, perubahan skop tugas, tahap kemahiran, lokasi permintaan, kadar pengambilan pekerja serta maklum balas majikan mengenai jurang kompetensi.
Data permintaan bukan sekadar menunjukkan bilangan pekerja yang diperlukan, tetapi menjelaskan kemahiran khusus yang perlu dimiliki untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan berkesan.
Sumbernya termasuk data kekosongan pekerjaan, kajian dan libat urus industri, maklumat pelaburan baharu, projek pembangunan ekonomi, perubahan teknologi, pengambilan pekerja dan analisis pasaran buruh.
Apabila digabungkan, negara dapat mengenal pasti bidang yang berkembang serta bila, di mana dan pada tahap kompetensi apa tenaga mahir diperlukan. Permintaan yang tinggi pada peringkat nasional mungkin tertumpu di negeri atau koridor ekonomi tertentu, justeru perancangan kursus, kapasiti latihan dan penempatan pelatih perlu dibuat secara lebih bersasar.
Soalan paling penting ialah sama ada hasil TVET benar-benar sepadan dengan permintaan tenaga kerja. Jumlah program dan graduan tidak bermakna jika industri masih sukar mendapatkan pekerja berkemahiran.
Penambahan tempat latihan juga bukan kejayaan sekiranya bidang yang ditawarkan tidak lagi mempunyai permintaan mencukupi. Statistik yang kelihatan baik belum tentu menggambarkan keberhasilan sebenar.
Data penawaran seperti institusi, kursus, kapasiti latihan, pelatih, persijilan dan kompetensi perlu dipadankan dengan data permintaan industri yang merangkumi keperluan kemahiran semasa dan baharu, jurang kompetensi serta permintaan majikan.
Analisis juga perlu menilai kualiti permintaan, termasuk tahap kompetensi, pengalaman, persijilan, teknologi, bentuk pekerjaan, julat upah dan prospek kerjaya.
Padanan ini memastikan program TVET bukan sekadar mengisi kekosongan jangka pendek, tetapi membangunkan bakat yang mempunyai nilai pasaran, kebolehkerjaan dan daya tahan kerjaya.
Apabila kedua-dua sisi dipadankan, negara boleh membangunkan inteligens penawaran dan permintaan kemahiran. Perancangan latihan tidak lagi hanya berasaskan jumlah permohonan atau kecenderungan masa lalu, tetapi isyarat sebenar ekonomi.
Institusi dapat menentukan program yang wajar diperluas atau dikemas kini, agensi dapat menyusun keutamaan pembiayaan dan pembangunan NOSS, pelajar dapat memilih latihan dengan lebih tepat, manakala industri memperoleh saluran bakat yang lebih hampir dengan keperluan operasi.
Jurang kemahiran pula boleh ditangani lebih awal melalui penyemakan kurikulum, latihan semula, peningkatan kemahiran atau kerjasama industri. Inilah pendekatan kemahiran yang tepat, di tempat yang tepat dan pada masa yang tepat.
Dalam agenda ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) perlu menjadi pemudah cara strategik. JPK mempunyai asas kukuh dalam NOSS, latihan berasaskan kompetensi dan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia.
NOSS menerangkan kompetensi pekerjaan dan boleh menjadi bahasa bersama yang menghubungkan latihan, persijilan, pengambilan pekerja, penilaian kompetensi dan pembangunan kerjaya.
Data MySPIKE pula penting untuk memahami profil pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), termasuk bidang, tahap kompetensi dan persijilan. Apabila digabungkan dengan data institusi, industri dan pasaran buruh, maklumat ini membantu mengenal pasti kekuatan, jurang dan keberkesanan ekosistem latihan.
Data kemahiran juga perlu menyokong jaminan kualiti dengan menilai bukan sahaja jumlah peserta dan graduan, tetapi kompetensi, pekerjaan berkualiti, upah setimpal dan kemajuan kerjaya. Jika hanya jumlah graduan diukur, kita sekadar mengira keluaran, bukan perubahan.
JPK boleh memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan data bagi domain kemahiran tanpa mengambil alih sistem kementerian atau agensi lain. Setiap pihak kekal sebagai pemilik data berdasarkan mandat masing-masing, tetapi data memerlukan definisi, standard, taksonomi, tadbir urus dan kebolehoperasian bersama.
Prinsipnya ialah menghubungkan data, tidak semestinya menggantikan sistem. Pertukaran data perlu berlaku secara selamat dan dipercayai, dengan JPK menyumbang melalui penyeragaman data kemahiran, taksonomi kompetensi, maklumat pekerjaan berasaskan NOSS dan inteligens persijilan.
Fasa awal Data Raya TVET membina asas melalui pengumpulan, integrasi, papan pemuka dan pelaporan. Fasa seterusnya perlu membawa kita daripada data kepada cerapan, daripada cerapan kepada inteligens dan akhirnya kepada tindakan.
Analitik lanjutan, kecerdasan buatan dan model ramalan boleh mengesan perubahan permintaan kemahiran, risiko ketidakpadanan dan keperluan intervensi dasar lebih awal.
Bayangkan jika kerajaan dapat meramalkan kekurangan juruteknik semikonduktor di sesuatu wilayah tiga tahun lebih awal, mengenal pasti kursus yang semakin kurang relevan atau menentukan lokasi terbaik untuk menambah kapasiti latihan tenaga boleh baharu.
Keputusan mengenai program, kapasiti latihan, standard kemahiran dan pelaburan TVET dapat dibuat berasaskan bukti. Data Raya TVET tidak lagi sekadar repositori sejarah, tetapi menjadi sistem amaran awal dan instrumen perancangan masa hadapan.
Nilai sebenar Data Raya TVET bukan pada banyaknya data yang dikumpulkan, tetapi pada keputusan lebih baik yang dapat dibuat. Malaysia tidak boleh mencapai status negara maju dengan sistem latihan yang sentiasa mengejar perubahan selepas ia berlaku.
Kita mesti melihat lebih awal, merancang dengan tepat dan bertindak sebelum jurang kemahiran menjadi krisis.
Di situlah JPK bersedia memainkan peranan, bukan sekadar mentadbir latihan dan persijilan, tetapi membantu negara membaca masa hadapan kemahiran. Data Raya TVET mesti menjadi mata yang melihat keseluruhan ekosistem, fikiran yang menafsir perubahan dan kompas yang memandu keputusan.
Jika berjaya dilaksanakan, Malaysia bukan sahaja mampu memenuhi permintaan tenaga mahir hari ini, malah membentuk tenaga kerja yang akan memimpin industri masa hadapan.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
