KUALA TERENGGANU – Kejayaan muncul sebagai ratu pecut pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menjadi pembakar semangat buat Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam kariernya, termasuk memberi perhatian kepada pembangunan akademik.
Atlet berusia 18 tahun itu tidak menunggu lama selepas temasya berakhir apabila memilih Kolej Universiti TATI (UC TATI) di negeri kelahirannya sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Sains Sukan dan Rekreasi yang akan bermula September ini.
Menurut Izzatul Musfirah, keputusan memilih UC TATI dibuat selepas mengambil kira keperluan untuk mengimbangi tuntutan akademik dengan komitmen sebagai atlet, selain memastikan perjalanan karier sukannya dapat diteruskan tanpa mengabaikan pendidikan.
“Tidak dinafikan terdapat lain-lain pilihan untuk saya menyambung pengajian sama ada di dalam negara mahupun di luar negara, namun pilihan IPT yang boleh menyokong saya dalam karier sukan adalah tumpuan utama ketika ini,” ujarnya.
Izzatul Musfirah adalah pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Terengganu selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 9A pada April lalu.
Pendekatan UC TATI dalam menyediakan ruang pengajian yang mengambil kira keperluan atlet turut menjadi antara faktor yang dilihat mampu membantu Izzatul meneruskan kedua-dua bidang tersebut secara serentak.
Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, program pengajian yang dilaksanakan secara inklusif untuk atlet sepenuh masa dan separuh masa memberi peluang kepada mereka menamatkan pengajian mengikut tempoh ditetapkan tanpa perlu menangguhkan pengajian disebabkan komitmen terhadap program atau kem latihan sukan.
“Terkini terdapat atlet yang juga pelajar di UC TATI ini berjaya menamatkan pengajian sebelum SUKMA Selangor 2026 itu bermula, malah Izzatul Musfirah juga antara atlet yang menaiki podium untuk pingat masing-masing.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Ianya memberi satu penanda aras buat atlet yang berjaya menamatkan pelajaran itu sendiri dan juga untuk kami dari UC TATI ini.
“Kami memahami keperluan setiap atlet yang perlu memberi komitmen tinggi untuk membahagikan jadual di antara program latihan dan kelas pembelajaran masing-masing. Oleh itu sistem pengajian di UC TATI ini diolah sebaik mungkin mengikut acuan keperluan atlet-atlet yang menyambung pengajian di sini,” kata Prof. Ir. Dr Hairul Azhar.
Katanya lagi, kecemerlangan dalam akademik dan sukan ini juga melayakkan Izzatul Musfirah untuk menerima biasiswa sepenuhnya dari Yayasan Terengganu dan juga program biasiswa sukan dari UC TATI itu sendiri.
Antara atlet UC TATI yang berjaya menamatkan pengajian sebelum SUKMA Selangor 2026 ialah pemenang pingat emas angkat berat, Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri, selain Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan yang mencipta sensasi apabila merangkul dua pingat emas dalam acara 5,000 meter dan 3,000 meter.
Kejayaan atlet berkenaan menjadi antara contoh bahawa komitmen terhadap latihan dan pertandingan masih boleh diseimbangkan dengan tuntutan akademik menerusi pendekatan pengajian yang disesuaikan dengan keperluan atlet.
Program Diploma Sains Sukan dan Rekreasi yang mula ditawarkan UC TATI sejak 2025 itu kini turut mendapat perhatian atlet dari Terengganu dan negeri-negeri lain, dengan Izzatul Musfirah antara kelompok pelajar baharu yang bakal memulakan semester pada September ini.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
