KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta berjumlah RM14 juta, pelbagai mata wang asing serta lima kilogram jongkong emas.
“Faham, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan,” kata Ahli Parlimen Bera itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Prosiding bermula pada jam 9.35 pagi.
Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa mengemukakan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, bertarikh 7 Januari 2025.
Notis berkenaan dikatakan telah diserahkan kepadanya oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan ke atas pada 10 Januari tahun lalu.
Pertuduhan itu menyatakan beliau gagal mengisytiharkan harta seperti disenaraikan dalam Lampiran A.
Antara harta yang didakwa tidak diisytiharkan ialah wang tunai berjumlah RM14 juta, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak dan syiling emas.
Turut termasuk dalam senarai ialah pelbagai mata wang asing, iaitu SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta dan AUD$352,850.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ismail Sabri dilihat tenang sepanjang prosiding berkenaan.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
