KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan, beliau telah memfailkan saman terhadap penyanyi dan personaliti media sosial, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan penerimaan rasuah dalam satu projek swasta.
Rafizi berkata, tindakan undang-undang itu telah lama difailkan dan kini sedang berjalan di mahkamah, sekali gus menafikan tanggapan sesetengah pihak beliau tidak mengambil tindakan terhadap Caprice berhubung dakwaan itu.
Beliau berkata demikian susulan laporan media minggu ini mengenai keputusan mahkamah dalam saman fitnah yang difailkan pendakwah, Ebit Lew terhadap Caprice.
Menurut Rafizi, pada Februari lalu Caprice didakwa mengeluarkan kenyataan dan mengadakan sidang media yang mengaitkan dirinya dengan dakwaan menerima rasuah membabitkan satu projek swasta.
Beliau menegaskan projek berkenaan tidak mempunyai kaitan dengannya mahupun kementerian yang pernah diterajuinya.
“Februari lalu, Caprice juga menjaja cerita kononnya saya makan rasuah dalam satu projek swasta yang tidak ada kena mengena dengan saya atau kementerian saya dulu.
“Dia panggil sidang media mengumumkan yang dia saman saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, selepas perkara itu mendapat perhatian umum, terdapat pihak mempersoalkan mengapa beliau tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Caprice.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, ada pihak mengejek dan mendakwa beliau tidak berani menyaman personaliti berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, saman terhadap Caprice sebenarnya telah difailkan lebih awal dan kes itu kini dalam proses mahkamah.
“Sebenarnya dah lama saya saman Caprice atas tuduhan itu. Kes sedang berjalan di mahkamah,” katanya.
Rafizi berkata, tindakan tersebut adalah kali pertama beliau memfailkan saman terhadap seseorang sepanjang penglibatannya dalam politik.
Menurutnya, sebelum ini beliau memilih untuk tidak mengambil tindakan saman terhadap pelbagai tuduhan atau dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya.
Beliau berkata, kebanyakan pihak yang membuat tuduhan berkenaan adalah rakyat biasa dan beliau memilih untuk menyerahkan perkara itu kepada Allah.
“Ini kali pertama saya saman seseorang. Sebelum ini, macam-macam orang fitnah atau tuduh, saya jawab dan saya tak saman. Sebab kebanyakan daripada mereka ini rakyat biasa, saya serahkan kepada Allah,” katanya.
Namun, Rafizi berkata, dakwaan yang dibuat Caprice dianggap serius kerana ia secara langsung mengaitkannya dengan rasuah.
Beliau berkata, sepanjang puluhan tahun terlibat dalam politik, beliau tidak pernah berdepan tuduhan serupa daripada pihak lain, termasuk lawan politik.
“Tuduhan Caprice itu adalah yang pertama kali menuduh saya makan rasuah. Berpuluh tahun saya dalam politik, sebenarnya tak pernah ada orang lain, hatta daripada lawan politik seperti UMNO atau PAS yang tuduh saya makan rasuah.
“Jadi saya terpaksa saman untuk kali pertama dalam hidup saya,” katanya.
Rafizi berkata, beliau kini menyerahkan perkara berkenaan kepada pasukan peguam serta proses perundangan yang sedang berjalan di mahkamah.
Katanya, semua pihak wajar membiarkan proses mahkamah menentukan kesahihan dakwaan serta perkara yang dipertikaikan antara kedua-dua pihak.
“Sekarang kita serahkan kepada peguam-peguam dan proses mahkamah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusannya mengambil tindakan undang-undang bukan semata-mata disebabkan kritikan terhadap dirinya, sebaliknya kerana dakwaan mengenai rasuah itu dianggap sebagai tuduhan serius yang mempunyai implikasi terhadap reputasi dan integritinya sebagai seorang ahli politik.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
