Biar Kecil, Besar Maknanya

Oleh: Esther Anthony dan Dr. Siti Suriani Othman

“GAJAH mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Peribahasa Melayu ini membawa maksud mengenai erti sebuah kehidupan, iaitu setiap insan pasti akan pergi, namun tidak semua akan meninggalkan legasi yang terus dikenang.

Ada yang meninggalkan nama melalui kepemimpinan, ada yang dikenang melalui ilmu, ada yang mengabdikan pemikiran melalui penulisan, dan tidak kurang yang membina legasi melalui titik peluh dan usaha yang jujur.

Falsafah ini seiring dengan ungkapan ahli falsafah China, Laozi, “A journey of a thousand miles begins with a single step.” Setiap legasi yang besar bermula dengan satu langkah kecil yang dilakukan dengan tekun, sabar, dan penuh istiqamah.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Di Malaysia, ramai tokoh telah meninggalkan legasi yang besar kepada negara. Misalnya, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan; Syed Hussein Alatas Syed Ali Alatas pula meninggalkan khazanah pemikiran mengenai pembangunan masyarakat, etika kerja, dan pemikiran kritis.

Manakala A. Samad Said mengangkat nilai kemanusiaan melalui karya sastera. Dalam bidang ekonomi, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid memperlihatkan pembangunan masyarakat bermula daripada pembangunan insan, ilmu, dan budaya kerja yang kukuh.

Di peringkat Nusantara, Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka terus menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat Malaysia. Melalui karya Lembaga Hidup, beliau mengingatkan nilai seseorang tidak diukur pada sebanyak mana harta yang dimiliki, tetapi pada kesungguhan berusaha, kejujuran bekerja, kesabaran menghadapi ujian, dan keikhlasan mencari rezeki yang halal.

Hakikat ini terbukti melalui berita sepasang suami isteri di Sabah yang memulakan perniagaan nasi lemak secara kecil-kecilan dengan menjualnya dari bonet kereta di kawasan parkir.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Mereka memulakan langkah dari bawah, mengharungi pelbagai cabaran dunia perniagaan, membina kepercayaan pelanggan, serta memperbaiki mutu produk sedikit demi sedikit.

Berbekalkan kecekalan, kesungguhan, dan keyakinan untuk terus maju, mereka akhirnya berjaya membuka sebuah restoran sendiri di Harbour City, Kota Kinabalu.

Jenama “Nasi Lemak Tengah Malam” bukan sekadar sebuah nama, tetapi lahir daripada pengalaman mereka berniaga hingga larut malam di kawasan parkir kereta.

Di sebalik nama yang unik itu tersimpan sebuah kisah perjuangan yang membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada modal kewangan, tetapi turut dipacu oleh kepercayaan pelanggan, hubungan baik dengan komuniti, serta keberanian menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Dalam era digital, media sosial menjadi jambatan yang menghubungkan produk dengan masyarakat. Pasangan usahawan ini turut memanfaatkan media sosial sebagai medium promosi.

Penyampaian maklumat perlu dilakukan melalui platform yang tepat agar ilmu dan manfaat dapat disebarkan secara berkesan. Platform digital bukan sekadar digunakan untuk memperkenalkan produk, malah menjadi ruang membina hubungan yang lebih erat dengan pelanggan serta memperkukuh jenama.

Gagasan dan idea ini turut selari dengan perkongsian oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abd. Razak yang juga merupakan Penasihat USIM Writers’ Pool (UWP) semasa program ILMU 2.0 anjuran UWP di Universiti Sains Islam Malaysia.

Beliau menekankan bahawa setiap individu mempunyai peluang meninggalkan legasi melalui ilmu, pemikiran, penulisan, dan sumbangan kepada masyarakat.

Melalui perkongsian beliau, penulisan bukan sekadar medium menyampaikan maklumat, tetapi wadah membina pemikiran, menyebarkan ilmu, dan meninggalkan legasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam dunia keusahawanan pula, legasi dapat dibina melalui produk yang berkualiti, nilai yang baik, dan manfaat yang berterusan kepada pengguna.

Akhirnya, haruman nasi, kepedasan sambal, kerangupan ikan bilis, dan kesegaran timun bukan sekadar membangkitkan selera dan mengenyangkan perut, malah mengungkapkan sebuah falsafah kehidupan.

Setiap ramuan mempunyai rasa dan peranannya yang tersendiri, namun apabila digabungkan, lahirlah sepinggan nasi lemak yang lengkap menjadi antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Begitu jugalah kehidupan, ada suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, harapan dan cabaran saling melengkapi dalam membentuk perjalanan seorang insan, umpama bait lagu “Hitam Putih Kehidupan” yang dipopularkan oleh Dato’ Sri Sheila Majid.

Barangkali itulah makna sebenar sebuah legasi; tidak semestinya hadir daripada jawatan yang tinggi atau kedudukan yang besar, tetapi terukir indah melalui kejujuran dalam memberi sumbangan bermakna dan manfaat kepada masyarakat.

Esther Anthony ialah Penjawat Awam di Kementerian Kesihatan Malaysia dan Dr. Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *