MACHANG – Festival Kebudayaan Warisan Melayu Madani GPMS 2026 yang berlangsung selama dua hari, pada 14 dan 15 Ogos di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Machang, menjadi platform memperkasa budaya dan warisan Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Festival anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu dirasmikan Pengarah Tourism Kelantan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Pelbagai pengisian disediakan sepanjang festival, antaranya persembahan Mak Yong dan Wayang Kulit, seni dan muzik tradisional, bengkel seni warisan, pameran kebudayaan, aktiviti belia serta persembahan pentas.
Penganjuran festival berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha memelihara dan memastikan kesinambungan seni warisan seperti Mak Yong dan Wayang Kulit supaya terus dikenali, dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, festival berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen pertubuhan itu untuk memperkasa budaya dan warisan bangsa Melayu, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu memastikan warisan seperti Mak Yong yang telah diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan serta Wayang Kulit dan seni tradisional lain terus dikenali, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, penglibatan golongan belia dalam aktiviti seni warisan penting bagi memastikan generasi muda bukan sahaja mengenali budaya tradisional, malah berpeluang mempelajari dan menghayatinya secara langsung.
Selain menjadi wadah pemeliharaan warisan, festival itu turut berperanan memperkukuh jaringan kerjasama antara pertubuhan belia, agensi kerajaan, institusi pendidikan, penggiat seni dan masyarakat setempat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada masa sama, kekayaan seni budaya Kelantan diketengahkan sebagai aset pelancongan, khususnya menerusi keunikan seni tradisional seperti Mak Yong dan Wayang Kulit yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan berasaskan budaya.
Festival Kebudayaan Warisan Melayu Madani GPMS 2026 turut diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-78 GPMS.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
