KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air diselubungi suasana pilu apabila pelakon veteran, Kamarozaman Yusoff, 68, atau lebih dikenali sebagai Cik Man, meninggal dunia petang ini selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah, Kelantan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas ditidurkan susulan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.
Berita pemergian pelakon yang cukup dikenali menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja itu mengundang rasa sedih dalam kalangan keluarga, rakan artis serta peminat yang mengikuti perkembangan kesihatannya sejak semalam.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh anak lelaki keduanya, Fakhrol Aliff, yang memaklumkan bapanya meninggal dunia kira-kira jam 5 petang selepas beliau pulang sebentar ke rumah.
“Saya baru balik dari rumah tadi, rasanya dalam jam 5 petang. Saya balik mandi lepas jaga abah tadi, selepas itu kakak telefon suruh datang hospital sebab abah dah tak ada,” katanya ketika ditemui media.
Menurut Fakhrol, keadaan kesihatan bapanya sebelum ini tidak menunjukkan sebarang petanda serius meskipun pernah mengalami serangan jantung kira-kira dua tahun lalu.
Katanya, selepas menjalani rawatan ketika itu, pemeriksaan susulan mendapati keadaan jantung Allahyarham berada dalam keadaan baik, namun bapanya sering mengadu mengalami simptom yang disangkakan hanya masalah gastrik.
“Abah sebelum ini tak sakit teruk pun. Kali terakhir dia kena serangan jantung dua tahun lepas. Selepas daripada itu, periksa jantung semua tak ada, tapi dia selalu macam gastrik. Dia teruk semalam.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Dia ada mengadu sakit gastrik, sakit perut dan sakit belakang, macam angin begitu. Bila kami ajak pergi hospital dia tak nak. Semalam dia dah tak tahan sangat dah,” katanya.
Allahyarham kemudiannya dibawa ke Hospital Tanah Merah sebelum doktor memutuskan untuk menidurkannya bagi membolehkan rawatan lanjut dijalankan selepas mendapati saluran jantungnya mengalami penyumbatan.
Terdahulu, pelawak Amir Raja Lawak menerusi hantaran di Facebook memaklumkan keadaan Allahyarham berada dalam keadaan kritikal dan memohon orang ramai mendoakan kesihatannya.
“Assalamualaikum. Dimaklumkan, Cik Man dimasukkan ke Hospital Tanah Merah tengah malam semalam. Keadaan dia kini kritikal kerana saluran jantung tersumbat dan kini ditidurkan untuk dia rehat serta doktor lakukan rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, usaha pasukan perubatan untuk menyelamatkan nyawa Allahyarham tidak berjaya apabila beliau disahkan meninggal dunia petang ini.
Menurut Fakhrol, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan kira-kira jam 11 pagi esok selepas selesai segala urusan pengurusan jenazah.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Cik Man dikenali sebagai pelakon yang berbakat dan sering membawakan pelbagai watak sama ada serius mahupun komedi.
Antara penampilan yang paling diingati ialah menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja, selain turut membintangi pelbagai filem dan drama tempatan termasuk Rock Oo, sekali gus meninggalkan impak tersendiri dalam industri hiburan negara.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri seni tanah air. Ramai rakan artis dan peminat menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
