Dari Editorial ND
EMPAT tangkapan berprofil tinggi melibatkan rakyat Malaysia di tiga negara jiran dalam tempoh hanya beberapa hari sepatutnya menjadi isyarat amaran paling serius kepada negara.
Ini bukan lagi sekadar deretan laporan jenayah yang memenuhi halaman akhbar atau portal berita.
Apabila kes demi kes melibatkan warga Malaysia muncul hampir serentak di Thailand, Singapura dan Indonesia, kita tidak lagi boleh menganggapnya sebagai kebetulan.
Corak yang muncul terlalu jelas untuk diabaikan, seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Selama berpuluh-puluh tahun, naratif yang sering kita dengar ialah Malaysia menjadi negara transit atau destinasi kemasukan dadah dari kawasan Segi Tiga Emas melalui sempadan utara.
Ancaman utama ketika itu ialah bagaimana sindiket antarabangsa menyeludup masuk bekalan syabu, heroin dan pelbagai dadah sintetik ke negara ini sebelum diedarkan kepada pasaran tempatan.
Kini, naratif itu seolah-olah berubah. Rakyat Malaysia pula ditahan kerana cuba membawa keluar dadah ke negara jiran.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam tempoh sehari sahaja, beberapa kes besar dilaporkan. Di Hat Yai, Thailand, pihak berkuasa merampas 87 kilogram syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta yang dikaitkan dengan warga Malaysia.
Di Singapura, lebih 10 kilogram dadah dirampas selepas seorang rakyat Malaysia ditahan di Kompleks Pemeriksaan Woodlands.
Sebelum itu, negara dikejutkan dengan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia yang didakwa mengambil bekalan dadah dari sebuah apartmen di Ampang sebelum ditahan ketika cuba membawanya masuk ke Indonesia.
Selang beberapa hari, juga di Indonesia, seorang lagi warga Malaysia diberkas kerana dipercayai cuba menyeludup dadah ke negara itu.
Apabila kes-kes ini dilihat secara berasingan, ia mungkin sekadar laporan jenayah biasa. Namun, apabila semuanya berlaku dalam tempoh yang begitu singkat, melibatkan destinasi yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan dari sudut modus operandi dan kewarganegaraan suspek, persoalan lebih besar mula timbul.
Adakah kita sedang menyaksikan perubahan landskap perdagangan dadah di rantau ini? Lebih membimbangkan ialah apa yang berlaku di dalam negara sendiri.
Hari demi hari media melaporkan tangkapan penagih yang khayal selepas mengambil syabu, ketamin atau pelbagai jenis dadah sintetik.
Video individu bertindak ganas selepas meminum “jus” atau menghisap vape yang dicampur bahan terlarang semakin kerap tular di media sosial. Malah, kes overdosis dalam kalangan golongan muda bukan lagi sesuatu yang luar biasa.
Fenomena ini menunjukkan bekalan dadah bukan sahaja mudah diperoleh, malah semakin pelbagai. Persoalan yang lebih besar ialah dari mana datangnya semua bekalan ini?
Jika bekalan terlalu banyak sehingga mampu memenuhi permintaan dalam negara dan pada masa sama diseludup keluar ke negara jiran, sudah tentu ada sesuatu yang sedang berlaku dalam rantaian bekalan dadah negara.
Adakah Malaysia kini sekadar pasaran pengguna? Atau kita sebenarnya telah berubah menjadi pusat penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran dadah untuk pasaran serantau?
Ini persoalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa. Statistik tangkapan yang tinggi sememangnya menunjukkan penguatkuasaan berjalan.
Polis, Jabatan Kastam, Agensi Antidadah Kebangsaan dan agensi penguat kuasa lain wajar diberikan penghargaan atas kejayaan menggagalkan pelbagai cubaan penyeludupan.

Namun, setiap rampasan besar juga membawa maksud yang lain. Bagi setiap sindiket yang berjaya ditumpaskan, berapa banyak lagi yang masih terlepas? Bagi setiap penghantaran yang berjaya dirampas, berapa banyak lagi yang sudah berjaya melepasi sempadan?
Sindiket dadah bukan lagi kumpulan kecil yang bergerak secara bersendirian. Mereka mempunyai rangkaian antarabangsa, kewangan yang kukuh, teknologi komunikasi yang canggih dan keupayaan merekrut individu daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, pekerja biasa, pelajar, malah mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah.
Lebih mengejutkan apabila ada antara suspek melibatkan individu yang memiliki kerjaya profesional dan dihormati masyarakat. Hakikat ini membuktikan sindiket kini semakin berani menyasarkan golongan yang dianggap “bersih” bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Dalam masa sama, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap permintaan domestik yang semakin meningkat. Selagi wujud permintaan yang tinggi, selagi itulah sindiket akan terus mencari jalan membawa masuk dan mengedarkan dadah.
Oleh sebab itu, penyelesaian tidak boleh bergantung kepada operasi tangkapan semata-mata.
Pendidikan, pencegahan, rawatan penagihan, pemantauan kewangan sindiket, kawalan sempadan yang lebih ketat serta kerjasama risikan dengan negara jiran perlu diperkasakan secara menyeluruh.
Apa yang lebih penting ialah kerajaan perlu mengakui ancaman dadah hari ini sudah berubah wajah. Ia bukan lagi isu yang hanya melibatkan penagih jalanan atau pengedar kecil.
Ia sudah menjadi ancaman keselamatan negara, ancaman kesihatan awam dan ancaman ekonomi yang mampu merosakkan masa depan generasi muda jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Malaysia tidak boleh berbangga hanya kerana berjaya membuat rampasan demi rampasan jika pada masa sama bekalan terus mengalir tanpa henti.
Kita juga tidak boleh terus berpegang kepada persepsi lama bahawa negara ini sekadar laluan transit kepada sindiket antarabangsa.
Apa yang berlaku kebelakangan ini memberi gambaran bahawa peranan Malaysia dalam rantaian perdagangan dadah serantau mungkin jauh lebih besar daripada yang kita sangka.
Jika dahulu kita hanya bimbang dadah memasuki negara ini dari Thailand atau Indonesia, hari ini rakyat Malaysia pula ditahan kerana cuba membawa dadah ke negara-negara tersebut.
Itulah hakikat yang perlu direnungkan. Jika benar Malaysia kini sedang berubah daripada sebuah negara transit kepada hab pengedaran dan pengeksportan dadah serantau, maka kita sedang berdepan ancaman yang jauh lebih besar daripada apa yang pernah kita bayangkan.
Dan, jika keadaan ini benar-benar sedang berlaku, persoalan terakhir yang perlu dijawab ialah: bagaimana ia boleh berlaku tanpa kita menyedarinya lebih awal? – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
