JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah, Seri Paduka Baginda merancang melaksanakan program kekeluargaan untuk golongan berpendapatan rendah (B40) di Johor.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berkenan membincangkan perkara itu ketika menerima mengadap isteri kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Datin Siti Azizah Omar di Istana Bukit Serene di sini.
Seri Paduka Baginda berkenan membincangkan perancangan untuk program-program kekeluargaan dianjurkan di semua daerah, menerusi kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan pejabat Daerah.
“Saya berharap untuk mengadakan program sedemikian untuk memberi masyarakat B40 satu ruang untuk bersuka ria seisi keluarga dan mencipta kenangan manis bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Masni Wakiman dan isteri, Nurul Asliza Salim; Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi dan isteri, Engku Noorwidainie Engku Aman; isteri Pegawai Daerah Mersing, Wan Nor Hanida Wan Ismail; serta Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abdul Rahim. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
