MARAN – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Chedung di sini, apabila empat sekeluarga yang terkorban dalam tragedi pikap dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, dekat Janda Baik, Bentong, selamat disemadikan dalam satu liang lahad awal pagi semalam.
Jenazah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi, 40, bersama isterinya, Allahyarhamah Nuraini Mohammad Jafri, 36, anak lelaki mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5, serta adik iparnya, Allahyarham Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, dikebumikan sekitar jam 3.15 pagi dalam satu liang sebagai simbol kasih sayang dan ikatan kekeluargaan yang tidak terpisah sehingga ke akhir hayat.
Suasana di tanah perkuburan diselubungi tangisan ahli keluarga dan sahabat handai yang sukar menahan sebak menyaksikan empat jenazah diturunkan ke liang lahad secara bergilir-gilir sebelum disemadikan bersebelahan.
Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, penduduk setempat, pemimpin politik, rakan seperjuangan dan kenalan hadir mengiringi perjalanan dan penghormatan terakhir mereka kepada Allahyarham Mohd Radzi yang dikenali sebagai seorang pemimpin muda yang aktif dan disenangi masyarakat.
Terdahulu, semua jenazah dituntut oleh waris antara jam 10 malam hingga 11.45 malam selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas untuk dimandi, dikafankan dan diuruskan mengikut tuntutan syarak sebelum dibawa ke Masjid Asy-Syakirin bagi disolatkan. Suasana di masjid turut dipenuhi orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir, dengan ramai tidak dapat menahan air mata ketika jenazah disembahyangkan.
Tragedi yang meragut empat nyawa itu berlaku kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Janda Baik.
Dalam kejadian itu, sebuah pokok besar dipercayai tumbang secara tiba-tiba lalu menghempap pikap yang dinaiki mangsa, menyebabkan Mohd Radzi, isterinya, anak mereka serta adik iparnya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Lebih menyayat hati, seorang lagi anak pasangan berkenaan yang juga kembar kepada Muhammad Rizz Hazim, iaitu Muhammad Rizz Haziq terselamat, namun mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di HOSHAH.
Insiden itu bukan sahaja meragut nyawa empat ahli keluarga dalam sekelip mata, malah meninggalkan seorang kanak-kanak yang kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa ibu, bapa, saudara kembar dan bapa saudaranya.
Pemergian Mohd Radzi turut dirasai dunia politik tempatan apabila Allahyarham dikenali sebagai pemimpin muda yang aktif memperjuangkan isu masyarakat di Maran serta sering terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dan kebajikan.
Berita kematian empat sekeluarga itu mengundang ucapan takziah daripada pelbagai pihak yang menyifatkan tragedi berkenaan sebagai antara kemalangan paling menyayat hati yang berlaku tahun ini.
Tangisan, doa dan bacaan talkin mengiringi detik-detik akhir pengebumian sebelum ahli keluarga dan kenalan beredar dengan wajah sugul, meninggalkan empat pusara yang menjadi saksi berakhirnya sebuah perjalanan hidup satu keluarga dalam tragedi yang tidak pernah diduga.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
