Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali
SETIAP kali tirai WorldSkills Competition dilabuhkan, perhatian masyarakat lazimnya tertumpu kepada pencapaian kontinjen negara. Nama para pemenang mendapat perhatian, manakala kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada generasi muda yang sedang membina masa depan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Namun, nilai penyertaan Malaysia dalam WorldSkills sebenarnya jauh lebih besar daripada jumlah pingat yang dibawa pulang. Di sebalik setiap pertandingan terdapat peluang untuk negara menilai keupayaan tenaga mahir, memahami perkembangan teknologi terkini, menanda aras standard latihan serta membina jaringan dengan pakar, institusi dan industri dari seluruh dunia.
Dengan pendekatan yang tepat, WorldSkills boleh menjadi titik mula kepada pembaharuan yang lebih besar dalam ekosistem TVET negara. Penyertaan Malaysia memberikan peluang kepada peserta, jurulatih, pakar teknikal dan institusi latihan untuk melihat sendiri tahap kemahiran yang diperlukan oleh industri global.
Pengalaman ini membantu negara mengenal pasti ruang penambahbaikan, memperkukuh bidang yang telah menunjukkan prestasi baik dan merancang pembangunan kemahiran secara lebih strategik.
Ilmu yang diperoleh melalui WorldSkills boleh diterjemahkan kepada standard pekerjaan yang lebih relevan, kurikulum yang lebih responsif, kaedah pengajaran yang lebih berkesan serta budaya kerja yang menekankan ketepatan, kreativiti, produktiviti dan kecemerlangan.
Dalam erti kata lain, seorang peserta WorldSkills bukan sahaja mewakili negara dalam pertandingan. Mereka juga berpotensi menjadi ejen perubahan yang membawa pulang pengetahuan dan pengalaman bertaraf dunia kepada institusi, industri dan masyarakat.

Persediaan menyertai WorldSkills memerlukan komitmen yang tinggi. Peserta menjalani latihan intensif, menggunakan peralatan dan bahan berteknologi tinggi serta menerima bimbingan daripada jurulatih, pakar teknikal dan pemain industri.
Pelaburan ini wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara. Kos latihan, pembangunan jurulatih, pembelian peralatan, bahan guna habis, penyertaan antarabangsa dan penganjuran pertandingan memerlukan pembiayaan yang besar serta konsisten.
Oleh itu, penubuhan dana khas WorldSkills Malaysia boleh dipertimbangkan, seumpama pendekatan pembangunan atlet berprestasi tinggi negara. Dana tersebut boleh menghimpunkan peruntukan kerajaan, penajaan industri, sumbangan syarikat berkaitan kerajaan dan sokongan penyedia teknologi.
Dana ini boleh digunakan untuk membiayai latihan jangka panjang, pembangunan jurulatih, pembelian peralatan, bahan latihan, penyertaan pertandingan serta penganjuran WorldSkills pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kesan positif penyertaan WorldSkills bukan hanya dapat dilihat melalui pencapaian pingat. Ia turut meningkatkan keupayaan jurulatih, memperkukuh institusi latihan, mempercepat pemindahan teknologi dan menyediakan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi perubahan industri.
Apabila standard latihan dipertingkatkan, graduan akan lebih bersedia memasuki alam pekerjaan, manakala industri memperoleh tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan teknologi, proses pengeluaran dan keperluan pekerjaan baharu.
Kejayaan peserta Malaysia juga membuktikan bahawa TVET menawarkan laluan kerjaya yang berkualiti, profesional dan mempunyai prospek yang luas. Pencapaian ini dapat membantu mengubah persepsi bahawa TVET hanyalah pilihan kedua, sebaliknya merupakan laluan strategik untuk membina masa depan.
Manfaat WorldSkills akan menjadi lebih besar apabila pengalaman daripada pertandingan dikongsi dan diperluaskan kepada seluruh ekosistem latihan kemahiran.
Antara peluang utama ialah menjadikan standard WorldSkills sebagai salah satu sumber rujukan dalam semakan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau NOSS.
Pendedahan kepada standard antarabangsa membantu negara mengenal pasti teknologi, kompetensi dan kaedah kerja baharu yang semakin diperlukan oleh industri.
Penyelarasan ini tidak bermaksud semua standard WorldSkills perlu diterapkan secara langsung. Sebaliknya, elemen yang sesuai boleh disesuaikan dengan konteks industri, keperluan pekerjaan dan tahap pembangunan teknologi di Malaysia.
Pendekatan ini memastikan kandungan latihan kekal relevan dengan pasaran kerja semasa dan masa hadapan. WorldSkills juga membuka ruang yang luas untuk program pemindahan ilmu.
Alumni, jurulatih dan pakar teknikal boleh berperanan sebagai mentor, penceramah industri, jurulatih khas atau rujukan teknikal kepada institusi latihan.
Pengalaman mereka boleh dikongsi melalui bengkel, demonstrasi, pembangunan tenaga pengajar dan latihan pelajar. Pada masa yang sama, aspek pengekalan jurulatih dan pakar teknikal perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
Penilaian terhadap mereka hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan peningkatan prestasi peserta, keberkesanan pemindahan ilmu, pembangunan modul latihan serta sumbangan terhadap kesinambungan kepakaran.
Dalam masa yang sama, mekanisme pemantauan prestasi secara berkala perlu dilaksanakan bagi mengesan lebih awal jurulatih dan pakar teknikal yang kurang komited, tidak menunjukkan peningkatan prestasi atau gagal memberikan impak yang jelas kepada pembangunan peserta.
Langkah intervensi, penambahbaikan atau penamatan khidmat secara terancang boleh dipertimbangkan agar sumber masa, tenaga dan kewangan negara tidak dibazirkan.
Pada masa yang sama, pakar yang benar-benar kompeten perlu dikekalkan bagi mengelakkan kehilangan pengetahuan institusi dan memastikan setiap kitaran pertandingan membina keupayaan daripada pengalaman terdahulu.
Memandangkan kos dan usaha yang tinggi diperlukan untuk membentuk seorang peserta sehingga mencapai tahap juara, satu mekanisme khusus wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pemenang WorldSkills diserap atau dilibatkan secara terancang sebagai pengajar, jurulatih, mentor atau pakar teknikal di institusi TVET awam mahupun swasta.
Mereka juga boleh diberikan kelayakan pengajaran yang bersesuaian agar penguasaan teknikal bertaraf dunia yang dimiliki dapat dipindahkan secara berkesan kepada generasi pelatih seterusnya.
Bagi alumni yang memilih untuk kekal dalam industri, penglibatan secara sambilan atau berasaskan kepakaran juga boleh diwujudkan agar pelaburan negara dalam membangunkan seorang juara terus memberikan pulangan jangka panjang kepada sistem TVET.
Pengalaman WorldSkills turut membuka peluang untuk membangunkan pusat kecemerlangan dalam bidang kemahiran berimpak tinggi. Institusi terpilih boleh diperkasakan sebagai hab latihan lanjutan yang menggabungkan kemudahan moden, tenaga pengajar pakar, teknologi industri dan standard latihan antarabangsa.
Pusat kecemerlangan ini bukan sahaja boleh menjadi tempat persediaan peserta pertandingan, tetapi juga berfungsi sebagai pusat peningkatan kemahiran tenaga pengajar, latihan pekerja industri, pembangunan inovasi dan pemindahan teknologi.
Kemudahan yang dibangunkan untuk WorldSkills juga boleh dimanfaatkan secara lebih luas oleh pelajar, institusi latihan dan industri tempatan. Pendekatan ini memastikan setiap pelaburan memberikan nilai yang berpanjangan kepada pembangunan TVET negara.
Salah satu kekuatan utama WorldSkills ialah hubungannya yang rapat dengan keperluan sebenar industri. Penyertaan Malaysia memberikan peluang untuk memperluas kerjasama antara institusi latihan, syarikat, persatuan industri, pakar teknologi dan penyedia peralatan.
Kerjasama ini boleh diterjemahkan melalui latihan berasaskan tempat kerja, perkongsian kemudahan, penajaan peralatan, pembangunan kurikulum bersama serta penglibatan pakar industri sebagai jurulatih atau penilai.
WorldSkills menunjukkan bahawa kemahiran teknikal boleh berkembang menjadi kerjaya profesional yang bernilai tinggi. Peserta perlu menguasai ketepatan, kepantasan, kreativiti, penyelesaian masalah, pengurusan masa serta pematuhan kepada standard keselamatan dan kualiti.
Oleh itu, alumni WorldSkills perlu diberikan ruang untuk berkembang sebagai pakar teknikal, jurulatih, tenaga pengajar, usahawan, inovator atau pemimpin industri. Laluan kerjaya yang jelas akan membantu mengekalkan bakat terbaik dan menggalakkan lebih ramai generasi muda memilih TVET.
Pengalaman alumni juga boleh menjadi inspirasi kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat bahawa kejayaan tidak hanya terhad kepada laluan akademik konvensional. TVET menawarkan peluang untuk membina kerjaya, memperoleh pendapatan yang baik, mencipta inovasi dan menyumbang secara langsung kepada kemajuan industri negara.
Kejayaan sebenar WorldSkills bukan hanya apabila seorang peserta menaiki podium. Kejayaan yang lebih besar berlaku apabila pengalaman peserta digunakan untuk mempertingkatkan standard latihan, membimbing pelajar lain, memperkukuh kemahiran tenaga pengajar dan membantu industri memperoleh tenaga kerja yang lebih kompeten.
Seorang pemenang boleh berkembang menjadi tenaga pengajar atau jurulatih yang melahirkan generasi baharu. Seorang alumni boleh memindahkan ilmu kepada ratusan tenaga pengajar, manakala seorang jurulatih boleh membantu membentuk ribuan pelajar yang lebih berkemahiran dan berkeyakinan.
Sudah tiba masanya WorldSkills dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan bakat negara. Pingat tetap penting kerana melambangkan kecemerlangan, disiplin dan keupayaan peserta Malaysia bersaing di pentas dunia.
Namun, nilai yang lebih besar terletak pada ilmu, teknologi, jaringan dan pengalaman yang dibawa pulang. Dengan menyediakan laluan kepada pemenang untuk menjadi pengajar atau jurulatih, mengekalkan pakar yang kompeten, melaksanakan pemantauan prestasi yang berkesan serta mewujudkan dana khas yang mampan, pelaburan negara dalam WorldSkills akan memberikan kesan yang lebih luas dan berpanjangan.
Malaysia bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai pemenang pertandingan, tetapi juga generasi tenaga mahir yang berdaya saing, berpendapatan tinggi dan bersedia memacu kemajuan ekonomi negara.
Kerana pada akhirnya, pingat ialah simbol kejayaan hari ini. Namun, ilmu, kemahiran, kepakaran dan sistem yang terhasil daripadanya ialah pelaburan untuk masa depan negara.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
