Oleh: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
TAHNIAH kepada para pengundi di Negeri Sembilan kerana telah membuat pilihan anda membentuk kerajaan baru Negeri Sembilan.
Kemenangan gabungan Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN) di Negeri Sembilan adalah petunjuk kepada kemenangan politik identiti kaum ke atas politik nilai rentas berbagai kaum dan agama yang dibawa oleh Pakstan Harapan (PH).
Pengundi di Negeri Sembilan telah memilih emosi dan sentimen kaum daripada prestasi dan pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka.
Sementara kita menghormati pilihan pengundi, kita juga melahirkan kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi membawa risiko kepada suasana politik menjadi semakin meruncing.
Ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum dan agama akan semakin melebar justeru menjejaskan kestabilan dan perpaduan yang merupakan kunci kepada kemakmuran negara.
Selain itu mesej politik kepada rakyat menjadi lebih keliru apabila Barisan Nasional (BN) yang merupakan sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan telah bersekongkol dengan pembangkang dari PN, tetapi menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai menteri dan lain-lain kedudukan rasmi untuk berkempen di Negeri Sembilan.
Sikap BN di Negeri Sembilan dikesali atas perbuatan ‘menikam’ rakan terang-terangan dengan membahagikan kerusi sesama PN untuk mengalahkan kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dibentuk bersama sebelum PRN.
PH harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama.
Ini adalah isyarat bahawa Pakatan Harapan akan mengharungi laluan mendaki yang sukar jika PH beriltizam untuk istiqamah membawa Malaysia ke arah politik nilai yang lebih menjamin masa depan negara.
Apakah akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman?
Pakatan Harapan harus bermuhasabah ke dalam dan mencari di mana kelemahannya sementara pada waktu yang sama juga perlu membina kekuatan baharu untuk menggerakkan momentum bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Amanah yang juga Pengarah Induk Pilihanraya
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
