KUALA LUMPUR – Polis menegaskan tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap kumpulan pelarian Rohingya yang berhimpun di luar pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kumpulan itu hanya diperiksa bagi tujuan dokumentasi.
“Mereka tidak ditahan dan tiada tangkapan dibuat tetapi hanya diperiksa dan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi dan dibebaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penjelasan itu bagi membetulkan laporan media antarabangsa yang mendakwa kumpulan pelarian tersebut ditahan selepas tiba di ibu negara dengan menaiki bas selepas diusir dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
Pada 29 Julai, Fadil berkata kumpulan pelarian itu dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri yang ditetapkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UNHCR.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik kedua-dua negara.
Setakat penghujung Februari lepas, kira-kira 126,000 pelarian Rohingya dilaporkan berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
