DKU Tegaskan Tiga Individu Tiada Kedudukan Sah Sebagai Undang Luak, Sahkan Pelantikan Dua Penyandang Baharu

KUALA LUMPUR – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan memutuskan bahawa tiga individu yang sebelum ini dikaitkan dengan jawatan Undang Luak tidak mempunyai kedudukan yang sah di sisi undang-undang, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sebarang fungsi atau tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Keputusan itu dibuat dalam persidangan rasmi DKU yang berlangsung semalam dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, DKU memaklumkan tiga individu terbabit ialah Mubarak Thahak yang dikaitkan dengan jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Abdul Rahim Yasin yang dikaitkan dengan jawatan Undang Luak Rembau serta Datuk Maarof Mat Rashad yang dikaitkan dengan jawatan Undang Luak Jelebu.

Menurut DKU, bagi jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu, kedua-dua penyandang berkenaan telah diberhentikan mengikut adat luak masing-masing pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini.

Bagi jawatan Undang Luak Rembau pula, DKU memutuskan bahawa pelantikan individu berkenaan tidak pernah disempurnakan mengikut adat yang ditetapkan dan tidak melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang, iaitu istiadat yang menjadi syarat penting dalam proses pelantikan seorang Undang Luak.

Sehubungan itu, DKU menegaskan bahawa ketiga-tiga individu tersebut tidak mempunyai sebarang kedudukan yang sah di sisi undang-undang dan tidak boleh menjalankan apa-apa kuasa atau fungsi yang diperuntukkan kepada seorang Undang Luak.

“Dengan demikian, mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” menurut kenyataan tersebut.

Persidangan DKU itu turut dihadiri Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Seri Menanti, sekali gus memenuhi syarat korum sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam persidangan yang sama, DKU turut menerima keputusan Waris, Anak Buah dan Ibu Soko Waris Berundang daripada tiga Perut Kemin iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban yang memutuskan untuk memecat Datuk Maarof Mat Rashad sebagai penyandang pusaka Undang Luak Jelebu Ke-16.

Menurut kenyataan itu, pemecatan berkenaan berkuat kuasa mulai 31 Mei 2023 atas alasan kesalahan adat sebagaimana yang telah dihuraikan oleh pihak waris.

Berikutan keputusan tersebut, DKU mengesahkan bahawa jawatan Undang Luak Jelebu telah menjadi kosong secara automatik bermula pada tarikh berkenaan.

Malah, semua tindakan, keputusan atau kuasa yang dilaksanakan oleh Datuk Maarof selepas tarikh tersebut dianggap tidak sah di sisi undang-undang.

DKU turut memaklumkan bahawa Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan oleh beliau sepanjang menyandang jawatan Undang Luak Jelebu turut gugur secara automatik selaras dengan keputusan pemecatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, DKU turut menerima makluman daripada Ibu Soko dan Anak-Anak Waris Ayer Luak Sungai Ujong bahawa penyandang pusaka Datuk Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid, telah dilucutkan daripada jawatannya mengikut adat Luak Sungai Ujong berkuat kuasa pada Khamis lalu.

Susulan itu, berdasarkan Perkara XV(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, jawatan Datuk Shahbandar Sungai Ujong disahkan kosong secara automatik.

Bagaimanapun, DKU menjelaskan bahawa proses pelantikan Datuk Shahbandar Sungai Ujong yang baharu masih berjalan dan belum dimuktamadkan mengikut adat Luak Sungai Ujong.

Pada masa yang sama, persidangan DKU turut mengesahkan pelantikan dua Undang Luak baharu yang kini diiktiraf sebagai penyandang yang sah mengikut adat dan peruntukan undang-undang negeri.

Mereka ialah Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau.

Menurut DKU, kedua-dua individu berkenaan telah melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang pada 27 Jun 2026 mengikut adat luak masing-masing, sekali gus melengkapkan semua syarat pelantikan yang ditetapkan.

Selain membuat pengesahan terhadap pelantikan tersebut, DKU turut mengisytiharkan bahawa satu dokumen bertarikh 19 April 2026 yang mengandungi pengumuman berkaitan pelantikan Undang adalah bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

DKU memutuskan bahawa pengumuman itu melanggar Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan oleh itu tidak berperlembagaan, tidak sah serta tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut perundangan.

Sehubungan itu, DKU mengarahkan Kerajaan Negeri Sembilan mengambil segala tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan serta pertimbangan yang telah diputuskan dalam persidangan tersebut, selaras dengan peruntukan undang-undang dan adat Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *