Oleh: Abd. Ghaffar Daud

TANAH MERAH – Setelah puluhan tahun mengabdikan diri dalam dunia penulisan kreatif, penulis prolifik kelahiran Kampung Jal Besar, Tumpat, Che Hashim Latiff, 66, kini terlantar sakit di kediamannya di Kampung Kuala Tiga, dekat sini.
Hashim, yang pernah menghasilkan pelbagai karya termasuk novel, cerpen dan skrip drama radio, kini berdepan beberapa masalah kesihatan termasuk kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang yang menyebabkan pergerakannya semakin terbatas.
Beliau diziarahi petang kelmarin oleh penulis Abd Ghaffar Daud bersama sahabat lamanya, Ismail Daud daripada Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR), bagi bertanya khabar serta menziarahi seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada dunia penulisan kreatif negeri ini.
Dalam kunjungan itu, anaknya, Muhamad Akmal, dilihat membantu memapah bapanya untuk bangun dan berjalan, menggambarkan keadaan kesihatan Hashim yang semakin uzur.
Menurut Akmal, bapanya mula diserang penyakit kencing manis dan darah tinggi sekitar 2010, namun ketika itu keadaannya tidak seteruk seperti kebelakangan ini.

Katanya, keadaan kesihatan bapanya semakin membataskan aktiviti penulisan dan sejak kira-kira empat bulan kebelakangan ini, selepas Hari Raya Aidilfitri, Hashim tidak lagi aktif berkarya seperti sebelumnya.
“Tahun lepas ayah dah mula tak larat lagi untuk menulis. Sesekali ayah menyuruh saya menaip novel dan cerpen untuk disiapkan. Ayah memberi idea, saya menaip,” katanya ketika ditemui.
Menurut Akmal, walaupun bapanya tidak lagi mampu menulis seperti dahulu, sesekali beliau masih menyampaikan idea untuk novel atau cerpen yang mahu disiapkan.
Keadaan itu memperlihatkan perubahan besar dalam kehidupan seorang penulis yang suatu ketika dahulu begitu aktif menghasilkan karya kreatif, namun kini kudrat fizikalnya tidak lagi mengizinkan beliau meneruskan kegiatan tersebut seperti biasa.
Hashim bukan nama asing dalam dunia penulisan kreatif Kelantan, malah dikenali sebagai antara penulis prolifik dan banyak menghasilkan karya yang mengangkat kehidupan masyarakat, budaya serta kearifan tempatan.
Antara karya beliau termasuk Serunai Malam, Pendekar Sufi, Aku Bukan Kaki Bangku, Permata di Anjung Desa dan Anak Jal Besar.
Kehebatan beliau dalam bidang penulisan cerpen turut mendapat pengiktirafan apabila memenangi tempat pertama Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) pada 2000.

Beliau sekali lagi mengukir kejayaan apabila cerpen “Gading Pendokok Emas” memenangi tempat pertama Sayembara Penulisan Cerpen Kearifan Tempatan Negeri Kelantan pada 2021.
Pengiktirafan terakhir yang diterimanya ialah Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020 pada 2020 bagi Kategori B, Karya Eceran (Cerpen).
Selain menghasilkan novel dan cerpen, Hashim juga pernah bergiat sebagai penulis skrip drama radio dan wartawan sambilan akhbar Sinar Harian, memperlihatkan bakatnya yang luas dalam bidang penulisan kreatif.
Sementara itu, Ismail Daud berkata, beliau mengenali Hashim sejak sekitar 1990-an ketika mereka sama-sama aktif dalam kegiatan persatuan penulis.
“Saya mengenali Hashim pada tahun 90-an lagi. Ketika itu Hashim merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR), sebelum persatuan tersebut dikenali sebagai Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan,” katanya.
Menurut Ismail, Hashim merupakan seorang penulis yang mempunyai komitmen tinggi terhadap dunia penulisan dan antara penggiat yang banyak menyumbang kepada perkembangan sastera di Kelantan.
Katanya, karya yang dihasilkan Hashim bukan sahaja menjadi bahan bacaan, malah turut merakam kehidupan, budaya dan kearifan masyarakat tempatan yang mempunyai nilai tersendiri.
“Hashim seorang penulis yang mempunyai banyak idea dan pengalaman. Sumbangan beliau dalam dunia penulisan kreatif Kelantan wajar dikenang, apatah lagi karya-karyanya telah melalui perjalanan yang panjang,” katanya.
Bagi Akmal pula, walaupun bapanya kini tidak lagi mampu menghasilkan karya seperti dahulu, beliau akan terus membantu sekiranya masih ada idea atau karya yang mahu disampaikan.
Kisah Hashim hari ini memperlihatkan perjalanan panjang seorang penulis yang telah mengabdikan sebahagian besar kehidupannya kepada dunia kreatif.
Setelah puluhan tahun menulis dengan kudrat sendiri, kini tangannya tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu. Namun, sesekali idea masih hadir dan disampaikan kepada anaknya untuk ditaip.
“Ayah memberi idea, saya menaip,” katanya ringkas.
Ungkapan ringkas Akmal itu seolah menggambarkan betapa dunia penulisan Che Hashim Latiff begitu sebati dalam kehidupannya. Walaupun kini terlantar dan tidak lagi aktif berkarya, hasil pemikiran serta karya yang pernah dihasilkannya terus menjadi sebahagian daripada khazanah penulisan kreatif Kelantan.
Semoga Che Hashim Latiff diberikan kesembuhan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian kesihatan yang sedang dilaluinya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L