ISTANBUL: Pengarah Besiktas, Onder Ozen mendakwa kelab itu menamatkan rundingan untuk mendapatkan khidmat legenda Liverpool, Mohamed Salah selepas mengadakan tiga pertemuan dengan wakil pemain berkenaan.
Salah kini bergelar ejen bebas selepas mencapai persetujuan bersama Liverpool untuk menamatkan baki setahun kontraknya lebih awal, sekali gus menutup tirai karier penuh gemilang di Anfield.
Bintang Mesir itu sebelum ini dihubungi Besiktas dengan presiden kelab, Serdal Adali memaklumkan kepada media Turkiye mereka sedang menunggu keputusan muktamad daripada pemain berkenaan.
Bagaimanapun, Besiktas dilaporkan menghentikan rundingan selepas proses perbincangan menemui jalan buntu.
Ozen berkata, wakil Salah dipercayai sedang berbincang dengan sebuah lagi kelab, namun menegaskan tawaran terakhir Besiktas masih kekal sekiranya mereka mahu menyambung semula rundingan.
“Kami menghubungi Salah dan ia turut membabitkan model pembiayaan.
“Salah adalah bintang bertaraf dunia dan atlet yang sangat dihormati. Kami bertemu dengannya sebanyak tiga kali sebelum aspek kewangan dibincangkan.
“Sehingga ke tahap itu semuanya berjalan lancar. Namun apabila perbincangan memasuki aspek kewangan, keadaan mula perlahan sejak 21 Julai.
“Permintaan yang diterima selepas itu mengganggu aliran maklumat dan menyebabkan rundingan kewangan menemui jalan buntu. Saya percaya seorang atlet yang dihormati seperti Salah sendiri mungkin tidak menyedari perkara itu.
“Kelab mempunyai dasar tersendiri dan kami tidak akan menyimpang daripada dasar itu. Presiden kami sudah menjelaskan pendiriannya dan beliau tetap dengan keputusan berkenaan.
“Saya tidak boleh berkata ya atau tidak. Tawaran Besiktas dibuat mengikut syarat kami sendiri dan ia sudah jelas. Jika ada maklum balas terhadap tawaran itu, kami akan menilainya.
“Namun, Besiktas tidak akan mengemukakan tawaran baharu. Mereka memaklumkan sedang berbincang dengan sebuah lagi kelab dan mungkin akan mencapai persetujuan di sana.
“Tawaran terakhir yang kami buat kepada Salah adalah tawaran muktamad yang tidak menjejaskan identiti Besiktas sebagai sebuah kelab,” katanya.
Salah, 34, turut dilaporkan menerima beberapa tawaran lain termasuk daripada Major League Soccer (MLS), dengan Sporting Kansas City dikatakan mengemukakan kontrak lumayan selama dua tahun. – AGENSI
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001