Oleh: Noraini Sapuan

“Institusi yang hebat tidak hanya dikenali melalui pencapaiannya, tetapi melalui nilai yang menjadi asas kepada setiap keputusan, tindakan dan amanah yang dipikul.”
Dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin kompleks, universiti bukan sahaja dinilai melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi, malah melalui keupayaannya mengamalkan tadbir urus yang baik (good governance), menjunjung integriti, mengukuhkan akauntabiliti, serta memastikan setiap sumber awam diurus secara telus, cekap dan berhemah.
Sebagai universiti pendidikan unggul negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meletakkan integriti sebagai tunjang utama dalam membentuk sebuah organisasi yang dipercayai, dihormati dan berdaya saing di peringkat global. Pendekatan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan pematuhan, tetapi merupakan satu komitmen institusi untuk memastikan setiap keputusan, dasar dan tindakan sentiasa berpaksikan nilai amanah, profesionalisme dan kepentingan awam.
Komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang saling melengkapi, membentuk eko-sistem tadbir urus yang kukuh serta menyokong aspirasi Malaysia ke arah sebuah negara yang berintegriti dan bebas rasuah.
Memperkukuh Tadbir Urus Melalui Piawaian Antarabangsa
UPSI sedang memperkukuh sistem pengurusan antirasuah melalui pelaksanaan Anti-Bribery Management Systems (ABMS) MS ISO 37001:2025, piawaian antarabangsa yang menjadi penanda aras dalam membangunkan sistem pencegahan rasuah yang sistematik, menyeluruh dan mampan.
Pelaksanaan piawaian ini memperkukuh keupayaan universiti dalam mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko rasuah melalui dasar antirasuah, penilaian risiko, kawalan dalaman, pelaksanaan due diligence, saluran pelaporan yang selamat, latihan kompetensi serta pemantauan dan penambahbaikan secara berterusan.
MS ISO 37001:2025 bukan sekadar pensijilan, ianya menjadi manifestasi komitmen UPSI untuk membudayakan integriti dalam setiap proses kerja dan memastikan setiap warga universiti memikul tanggungjawab yang sama dalam mencegah rasuah.
Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dari Mengenal Pasti Risiko kepada Membina Ketahanan Organisasi
Komitmen ini diperkukuh melalui pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP UPSI 2.0) bagi Tahun 2026–2030, yang menjadi dokumen strategik universiti dalam memperkasakan pengurusan risiko rasuah secara menyeluruh.
Berteraskan pendekatan Corruption Risk Management (CRM), OACP UPSI bukan sekadar mengenal pasti risiko, malah menggariskan strategi mitigasi, inisiatif penambahbaikan dan indikator prestasi yang jelas bagi memastikan setiap risiko ditangani secara proaktif.
Pendekatan ini mengubah perspektif daripada hanya bertindak selepas sesuatu insiden berlaku kepada budaya mencegah, mengawal dan menambah baik secara berterusan, sekali gus memperkukuh daya tahan organisasi terhadap risiko rasuah.
Kebebasan, Semak dan Imbang dalam Memperkukuh Kepercayaan Terhadap Tadbir Urus
Salah satu kekuatan sistem integriti UPSI ialah struktur tadbir urus yang menekankan prinsip kebebasan, ketelusan dan akauntabiliti. Penubuhan Jawatankuasa Integriti (JKI) UPSI menjadi platform strategik dalam memantau pelaksanaan agenda integriti universiti, manakala Unit Integriti UPSI melapor secara langsung kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagai badan bebas yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus institusi.
Struktur ini memperkukuh prinsip independence, ketelusan dan Check And Balance, dalam memastikan setiap isu berkaitan integriti dinilai secara objektif, profesional dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan. Pendekatan ini sejajar dengan amalan tadbir urus terbaik yang diamalkan oleh organisasi berprestasi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Membudayakan Integriti melalui pemerkasaan Polisi yang diterjemahkan melalui amalan terbaik
UPSI percaya bahawa sistem yang baik hanya akan berfungsi secara optimum apabila disokong oleh budaya organisasi yang kukuh. Sehubungan itu, pelbagai program pengukuhan integriti dilaksanakan secara berterusan kepada seluruh warga universiti meliputi pengurusan tertinggi, staf akademik, staf pelaksana dan pelajar.
Melalui latihan, seminar, forum, kempen kesedaran, pendidikan antirasuah, latihan pengurusan risiko rasuah, program pemerkasaan etika dan pelbagai inisiatif pembangunan sahsiah, UPSI berusaha memastikan integriti menjadi amalan harian, bukan sekadar slogan organisasi.
Sebagai sebuah universiti pendidikan, usaha ini turut membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek ilmu, tetapi memiliki nilai adab dan akhlak yang tinggi serta keberanian moral, kejujuran dan rasa tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.
Menyokong Agenda Nasional dan Aspirasi Global
Usaha UPSI ini adalah selari dengan aspirasi negara yang digariskan melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Hala Tuju Malaysia MADANI, serta komitmen Malaysia untuk meningkatkan kedudukan negara dalam Corruption Perceptions Index (CPI) kepada kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang tahun 2030.
Pada masa yang sama, inisiatif ini turut menyumbang kepada pencapaian Sustainable Development Goals (SDGs), khususnya dibawah komponen SDG 16 Peace, Justice and Strong Institutions, yang menekankan pembinaan institusi yang berkesan, telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah.
Dalam konteks Environmental, Social and Governance (ESG), pelaksanaan inisiatif ini memperkukuh dimensi Governance, yang menjadi antara penanda aras utama dalam menilai kemampanan, daya saing dan kredibiliti sesebuah organisasi di peringkat antarabangsa.
Dengan memperkukuh elemen tadbir urus, UPSI bukan sahaja meningkatkan kepercayaan pemegang taruh, malah memperluas potensi kerjasama strategik dengan institusi akademik, industri dan rakan antarabangsa yang semakin menitikberatkan amalan pengurusan beretika.
Integriti tonggak Identiti Sebuah Universiti Bertaraf Global
Perjalanan menuju universiti bertaraf global bukan hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, inovasi dan penyelidikan, tetapi turut bergantung kepada kekuatan nilai yang mendasari keseluruhan organisasi.
UPSI yakin bahawa institusi yang berintegriti akan melahirkan warga yang dipercayai, pemimpin yang berakauntabiliti dan serta graduan yang mendokong nilai amanah. Nilai kepercayaan inilah yang mendasari reputasi utuh sesebuah organisasi, yang mana daripada reputasi tersebut, sebuah kecemerlangan yang mampan dan berkekalan dapat dizahirkan.
Dengan komitmen yang tinggi, UPSI akan terus memperkukuh sistem pengurusan antirasuah, memperkasa budaya integriti, meningkatkan akauntabiliti serta menginstitusikan tadbir urus terbaik sebagai sebahagian daripada identiti universiti.
Integriti bukan sekadar nilai yang dipertahankan. Integriti ialah legasi yang diwariskan dan melalui legasi inilah UPSI akan terus menerajui kecemerlangan, membina kepercayaan, mengangkat agenda negara serta melakar nama sebagai sebuah universiti bertaraf global yang dihormati kerana ilmu, disegani kerana integriti.
Penulis ialah Pegawai Tadbir Unit Integriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L