PH Selangor diminta nilai semula kerjasama dengan BN susulan pakatan bersama PN di Negeri Sembilan

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor disaran membuat penilaian semula kerjasama politiknya dengan Barisan Nasional (BN) susulan tindakan gabungan itu menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Gesaan itu disuarakan Timbalan Ketua Pemuda PKR Selangor, Shahrul Adnan yang berpandangan perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar BN dalam menjalin kerjasama politik, khususnya ketika PH dan BN membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan serta bersama mentadbir Selangor.

Menurut beliau, tindakan BN bekerjasama dengan PN untuk bertanding menentang PH di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan memperlihatkan gabungan itu sanggup mengetepikan semangat kerjasama yang dipersetujui apabila berdepan pilihan raya.

Katanya, perkembangan tersebut wajar dijadikan asas untuk PH Selangor menilai sama ada bentuk kerjasama politik yang sedia terjalin masih relevan dan menguntungkan kedua-dua pihak.

“Jika BN bebas bekerjasama dengan PN untuk menentang PH di Johor dan Negeri Sembilan, mengapa PH perlu terus menganggap kerjasama dengan BN sebagai sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, persoalan itu bukan bertujuan mempertikaikan kewujudan kerajaan perpaduan, sebaliknya menggesa kepimpinan PH membuat pertimbangan secara objektif terhadap landskap politik semasa yang semakin berubah.

Terdahulu, pada 17 Julai lalu, Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, turut menyuarakan pandangan bahawa sudah tiba masanya hubungan antara PH dan BN dikaji semula berikutan tindakan gabungan itu yang didakwa sedang “gigih mencatur agenda” politiknya sendiri.

Menurut Kamil, ketika negara memerlukan kestabilan politik bagi menghadapi cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global, tindakan BN mengatur kerjasama dengan parti lain dilihat tidak mencerminkan semangat kejujuran yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan perpaduan.

Kenyataan beliau dibuat susulan langkah BN merangka kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, sekali gus membuka gelanggang persaingan secara langsung dengan PH walaupun kedua-dua gabungan itu berkongsi pentadbiran di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata kerjasama politik yang kukuh seharusnya dibina atas prinsip saling menghormati, kepercayaan serta komitmen yang jelas, bukannya berubah mengikut musim pilihan raya atau disesuaikan dengan kepentingan politik semasa.

Beliau menegaskan, setiap bentuk kerjasama antara parti perlu berasaskan persefahaman yang konsisten supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong serta memberi isyarat bercampur kepada pengundi.

Katanya, gesaan supaya PH Selangor mengkaji semula hubungan dengan BN tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha menggugat kerajaan perpaduan atau menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Sebaliknya, beliau berkata ia merupakan cadangan supaya kepimpinan PH menilai secara jujur dan strategik sama ada kerjasama sedia ada masih mampu memberikan nilai tambah kepada perjuangan parti serta memenuhi harapan penyokong.

“PH perlu tegas dan konsisten dalam menentukan hala tuju politiknya demi kepentingan parti, penyokong serta rakyat.

“Jika BN boleh membuat keputusan berdasarkan pertimbangan politik mereka sendiri, maka PH juga mempunyai hak untuk menilai semula bentuk kerjasama yang sedang berjalan,” katanya.

Shahrul turut berpandangan sudah tiba masanya PH Selangor meneliti sama ada kerjasama dengan BN masih selari dengan aspirasi penyokong serta mampu memperkukuhkan kedudukan gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, PH dan BN membentuk kerajaan negeri Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 apabila kedua-dua gabungan berjaya menguasai 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Perikatan Nasional pula membentuk blok pembangkang dengan menguasai baki 22 kerusi.

Perkembangan terbaharu melibatkan kerjasama BN dengan PN di beberapa negeri dijangka terus menjadi perhatian kerana berpotensi mempengaruhi corak hubungan politik antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan, khususnya menjelang beberapa pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *