Oleh: Abd. Ghaffar Daud
TANAH MERAH – Suasana penuh syahdu dan penghargaan menyelubungi Dewan Hassan Al-Banna, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (MTSTM) apabila warga sekolah meraikan dua warga yang bersara dan tiga guru bertukar ke tempat baharu dalam majlis Lambaian Kasih, Setulus Budi Seindah Kenangan, kelmarin.
Majlis yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga jam 11 pagi itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Norazah Ibrahim, guru Sains yang berkhidmat selama 37 tahun, dan Nazirah Md. Yusoff, Pembantu Tadbir Kanan yang menabur bakti hampir 33 tahun, masing-masing bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Kedua-dua pesara hadir diiringi suami masing-masing, menjadikan detik persaraan itu lebih bermakna apabila diraikan bersama insan yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kerjaya mereka.
Suasana bertambah sebak apabila mereka menerima penghormatan dan penghargaan daripada warga MTSTM atas jasa serta pengorbanan yang dicurahkan selama berkhidmat.

Turut diraikan ialah Sarimah Mohd. Zain, Che Hasniza Che Hashim dan Ahmad Farhan Azhar yang akan meneruskan perkhidmatan di tempat baharu.
Sarimah sebelum ini merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan kini dinaikkan pangkat sebagai Pengetua Sekolah Ugama (Arab) Diniah Bukit Kechik selepas hampir tujuh tahun berkhidmat di MTSTM.
Pengetua MTSTM, Rusnida Ab. Rahman berkata, setiap pertemuan pasti disusuli perpisahan dan setiap yang berkhidmat akan melalui fasa persaraan apabila tiba waktunya.
“Sudah menjadi lumrah kehidupan. Setiap yang bermula pasti berakhir, setiap yang bertemu pasti akan berpisah, setiap yang bekerja pasti akan bersara dan setiap yang hidup pasti akan menemui saat kematian.
“Itulah hakikat kehidupan yang perlu diterima. Tiada sesuatu yang kekal abadi di dunia ini. Bersyukurlah atas segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT dan bersabarlah menghadapi setiap ujian kerana sedih, bahagia, sakit, sihat, miskin dan kaya hanyalah sementara, manakala akhirat kekal selama-lamanya,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua yang diraikan dikurniakan kesihatan yang baik, terus berbakti kepada keluarga dan masyarakat serta memperoleh kejayaan dalam fasa kehidupan yang baharu.
Pada majlis itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan serta komitmen yang dicurahkan sepanjang mereka berkhidmat di MTSTM.
Beliau juga mengucapkan selamat bersara kepada Norazah (bersara wajib) dan Nazirah (bersara pilihan) serta selamat menjalankan amanah di tempat baharu kepada Sarimah, Che Hasniza dan Ahmad Farhan.
Mengakhiri ucapannya, Rusnida memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan sepanjang bersama warga MTSTM serta berharap ukhuwah yang terjalin akan terus berkekalan dan menjadi kenangan terindah buat semua warga MTSTM.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L