Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI menyalurkan peruntukan bantuan sosial yang lebih besar berbanding pentadbiran terdahulu sebagai usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, peningkatan peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan disalurkan secara terus kepada golongan yang memerlukan meskipun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan turun naik harga minyak mentah.
Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan dana yang lebih besar menerusi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI RON95 dan BUDI Diesel.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) di Dewan Rakyat yang membangkitkan perbandingan harga minyak mentah Brent dan harga runcit diesel antara pentadbiran terdahulu dengan kerajaan semasa.
Menurut Anwar, perbandingan tersebut perlu dilihat secara menyeluruh kerana keadaan ekonomi, hasil negara serta komitmen fiskal kerajaan pada setiap tempoh adalah berbeza.
Beliau memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi STR dan SARA pada tahun 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima di seluruh negara.
Selain itu, katanya, peruntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditingkatkan kepada RM3.1 bilion bagi memperkukuh bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
Anwar berkata, pendekatan kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan secara lebih bersasar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan, di samping memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L