Kecewa Tiada Reformasi DBKL, Tegaskan Kekal Status Quo Juga Keputusan Politik – Nik Nazmi

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti BERSAMA, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan keputusan untuk mengekalkan kaedah pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur tanpa sebarang reformasi sebagai satu keputusan politik, sambil melahirkan kekecewaan terhadap dapatan kajian mengenai kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar.

Beliau berkata rumusan kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilihat menyokong status quo dengan mengekalkan amalan pelantikan Datuk Bandar oleh Kerajaan Persekutuan menerusi kenyataan yang dimuat naik di platform X.

Menurut beliau, berdasarkan laporan media, kajian itu bukan sahaja tidak menyokong pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar atau pelantikan ahli majlis, malah turut menasihatkan supaya tiada pindaan dibuat terhadap Akta Ibu Kota Persekutuan.

“Saya tidak terkejut dengan dapatan ini. Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan kajian, namun selepas beberapa pertemuan, saya merasakan mereka sememangnya tidak cenderung kepada sebarang pindaan sejak awal lagi,” katanya.

Nik Nazmi berkata hujah bahawa perubahan terhadap kaedah pelantikan Datuk Bandar akan mempolitikkan pentadbiran Kuala Lumpur adalah tidak konsisten kerana Datuk Bandar sedia ada sendiri dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

“Datuk Bandar sendiri merupakan lantikan politik kerana pelantikannya dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Maka, sama ada mengekalkan sistem sedia ada atau memperkenalkan reformasi, kedua-duanya tetap merupakan keputusan yang bersifat politik,

“Ironinya, rumusan itu mencadangkan pengukuhan peranan Ahli Parlimen Kuala Lumpur. Bukankah mereka juga ahli politik yang dipilih melalui pilihan raya?” katanya.

Menurut beliau, cadangan supaya ahli Lembaga Penasihat Kuala Lumpur dilantik berdasarkan kuota golongan profesional dan masyarakat sivil juga tetap melibatkan pertimbangan politik.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata kajian tersebut gagal menjawab isu utama berhubung hak demokrasi penduduk Kuala Lumpur yang tidak mempunyai wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri seperti rakyat di negeri-negeri lain.

Beliau menjelaskan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang pernah dibentangkannya bersama beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur sebelum ini mencadangkan pelantikan ahli majlis sebagai langkah peralihan bagi meningkatkan akauntabiliti dan penyertaan rakyat dalam pentadbiran ibu negara.

Mengulas situasi semasa, Nik Nazmi menyifatkan Kerajaan Persekutuan telah melepaskan peluang untuk melaksanakan reformasi demokrasi di Kuala Lumpur ketika pentadbiran negara diterajui Pakatan Harapan (PH).

“Amat mendukacitakan sekiranya Kerajaan Persekutuan melepaskan peluang yang begitu bermakna ketika negara dipimpin oleh seorang Perdana Menteri daripada PH, Menteri Wilayah Persekutuan juga daripada PH, dan selepas PRU 2022, 10 daripada 11 kerusi Parlimen Kuala Lumpur dimenangi PH yang telah berjanji memperkukuh pendemokrasian serta meningkatkan akauntabiliti dalam pentadbiran DBKL,” katanya.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *