PETALING JAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir membidas Nga Kor Ming selepas beliau dilapor mendakwa kementeriannya seperti “kura-kura” berhubung isu kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
Katanya, kenyataan Timbalan Pengerusi DAP itu ketika berkempen sempena PRN Johor sebagai tidak bertanggungjawab, sedangkan beliau adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tegasnya, setiap keputusan Jemaah Menteri adalah keputusan bersama yang berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif, disusuli tindakan menyeluruh dan proses teratur, termasuk keperluan penyelarasan dengan Kementerian Pendidikan serta pelbagai agensi berkaitan.
“Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola mesyuarat Jemaah Menteri,” menurut kenyataan.
Nga dilapor membuat dakwaan itu ketika berceramah di Kampung Abdullah, Segamat.
Pada 20 Jan lalu, Anwar dalam ucapan sempena Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 mengumumkan rakyat di semua aliran sekolah, termasuk sekolah yang menawarkan UEC, wajib mengambil subjek bahasa Melayu dan sejarah Malaysia, justeru laluan mereka untuk ke pendidikan tinggi tidak lagi harus menjadi kontroversi.
Di majlis sama, Zambry pada sidang media mengumumkan kerajaan akan melaksanakan suatu penyelarasan, antara kementeriannya dan Kementerian Pendidikan.
Pada 14 Mei, Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan calon lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam.
Pada 16 Mei, Anwar menegaskan kelulusan diberikan kepada lulusan UEC untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam tidak seharusnya dipolitikkan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L