JOHOR BAHRU – Tan Sri Annuar Musa menyindir keadaan dalam Kerajaan Perpaduan selepas tercetus pertikaman lidah secara terbuka melibatkan dua anggota Kabinet, sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda keretakan yang semakin serius dalam pentadbiran negara.
Menerusi satu hantaran di media sosial, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mempersoalkan tindakan seorang menteri mengeluarkan kenyataan media rasmi bagi mengkritik seorang lagi rakan Kabinet.
“MENTERI MADANI VS MENTERI MADANI… Apa nak jadi dengan kerajaan Malaysia. Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan media rasmi untuk mengecam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.”
Annuar berkata, pertelagahan terbuka itu menunjukkan konflik dalam Kerajaan Perpaduan bukan lagi terbatas kepada persaingan politik antara parti-parti komponen, malah telah melibatkan anggota pentadbiran sendiri.
Menurut beliau, sebelum ini rakyat menyaksikan pertikaman politik antara parti-parti dalam kerajaan ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dan Johor.
Kini, katanya, perbezaan pendirian itu dilihat telah merebak ke peringkat Kabinet.
“Tak cukup serang menyerang antara PH dan BN di Negeri Sembilan dan Johor, kini melarat ke Kabinet… parah,” katanya.
Beliau turut melontarkan sindiran tajam terhadap pentadbiran sedia ada dengan mendakwa kerajaan sudah tidak lagi mampu berfungsi secara berkesan.
“Bubar sajalah kabinet… rosak beyond repair dah,” ujarnya.
Kenyataan Annuar dipercayai merujuk kepada polemik melibatkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang bertukar pandangan secara terbuka berhubung isu dasar kerajaan.
Pertelingkahan itu telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati politik mengenai disiplin kolektif Kabinet dan sejauh mana perbezaan pendapat wajar dizahirkan di ruang awam.
Pemerhati politik berpandangan perbezaan pandangan dalam sesebuah Kabinet bukan sesuatu yang luar biasa dalam sistem demokrasi. Namun, apabila ia diterjemahkan melalui kenyataan media dan saling membalas secara terbuka, keadaan tersebut berpotensi menimbulkan persepsi wujud ketidaksepakatan dalam kalangan anggota pentadbiran.
Pada masa sama, kenyataan Annuar dilihat sebagai sebahagian daripada kritikan politik terhadap Kerajaan Perpaduan yang ketika ini berdepan cabaran mengekalkan kesepaduan dalam gabungan melibatkan beberapa parti dengan latar belakang serta ideologi berbeza.
Perkembangan itu dijangka terus menjadi perhatian, khususnya ketika PRN Johor sedang berlangsung, apabila setiap isu melibatkan kerajaan berpotensi mempengaruhi persepsi dan sentimen pengundi terhadap keupayaan pentadbiran semasa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L