“Saya tidak beli kereta BMW baharu” – PM Anwar

BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya beliau membeli sebuah kenderaan mewah jenama BMW untuk kegunaan peribadi.

“Ada orang cakap Anwar ini cakap nak tolong orang miskin, tapi dia beli kereta besar, kereta baharu BMW… saya tak beli, itu kereta lama… apa pasal mahu tipu,” katanya dalam ucapan pada program Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan di Senggarang, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, kenderaan Mercedes yang sering digunakan ketika ini pula adalah kurniaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Yang saya pakai sekarang ini, Agong kurnia dan bukan saya ambil (sebagai hak milik persendirian)… saya daftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri… jangan fikir saya macam orang lain, sakau dan curi duit rakyat,” katanya.

Penafian itu dibuat susulan dakwaan yang tular di platform media sosial berhubung status pemilikan kenderaan BMW yang digunakan Perdana Menteri sebelum ini.

Jabatan Perdana Menteri bersama dengan Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) dalam kenyataan Isnin lalu memaklumkan, kereta jenis BMW yang digunakan Perdana Menteri baru-baru ini adalah aset sedia ada milik kerajaan, bukannya kenderaan rasmi baharu.

Kenyataan sama memaklumkan kenderaan itu ialah aset di bawah seliaan BIUPA yang dikhususkan untuk kegunaan logistik rasmi negara. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *