Isu Tanah Perkuburan Islam WP: Tiada Penswastaan, JAWI Kekal Tadbir Tanah Perkuburan – Peguam

KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tampil menjelaskan dakwaan yang tular di media sosial berhubung isu tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan yang didakwa telah diswastakan kepada sebuah syarikat bukan Islam.

Menurut beliau, selepas meneliti laporan yang tersebar serta mendapatkan penjelasan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dakwaan tersebut didapati tidak tepat.

Kata beliau, MAIWP tidak terlibat dalam sebarang urusan penswastaan pentadbiran tanah perkuburan Islam sebagaimana yang didakwa.

“Saya merujuk kepada isu tanah kubur yang sedang tular ketika ini. Dikatakan tanah kubur orang Islam di Wilayah Persekutuan telah diswastakan kepada syarikat bukan Islam. Saya telah meneliti laporan dan membuat pertanyaan di MAIWP. Sebenarnya MAIWP tidak terlibat dalam isu ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan maklumat awal yang diterima, perkara itu melibatkan mekanisme pertukaran tanah (land swap), iaitu sebuah syarikat menyediakan sebidang tanah lengkap dengan infrastruktur untuk dijadikan tanah perkuburan Islam, manakala pentadbiran tanah perkuburan berkenaan kekal di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Tiada isu pentadbiran tanah kubur diswastakan. Pentadbiran tanah perkuburan itu nanti masih dikendalikan oleh JAWI,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan MAIWP sememangnya sedang berusaha mendapatkan kawasan baharu bagi tujuan tanah perkuburan Islam memandangkan kapasiti tanah perkuburan sedia ada dijangka hanya mampu menampung pengebumian jenazah sehingga tahun 2032.

Menurutnya, usaha mencari tapak baharu merupakan langkah yang perlu bagi memastikan keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan terus terpelihara pada masa hadapan.

Zainul Rijal turut menyatakan keyakinannya Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Nizam Yahya tidak akan mengambil tindakan yang boleh menjejaskan urusan fardu kifayah umat Islam.

“Saya sangat yakin CEO MAIWP, Datuk Nizam, tidak sekali-kali akan menswastakan perkara fardu kifayah ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengeluarkan penjelasan lanjut selepas menerima maklumat terkini bahawa kenyataan awal berhubung mekanisme pertukaran tanah itu perlu diperbetulkan.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat baharu yang diterima, tiada urusan pertukaran tanah (land swap) berlaku di Wilayah Persekutuan.

Sebaliknya, syarikat berkenaan diberikan tanah oleh kerajaan dengan syarat perlu membangunkan tanah perkuburan Islam bagi Wilayah Persekutuan serta membina jalan pintas sebagai sebahagian daripada syarat pembangunan.

Penjelasan itu sekali gus memperincikan bahawa isu yang berlaku bukan melibatkan penswastaan pengurusan tanah perkuburan Islam, sebaliknya berkaitan syarat pembangunan yang ditetapkan oleh kerajaan terhadap syarikat terbabit, manakala urusan pentadbiran dan pengurusan tanah perkuburan kekal di bawah pihak berkuasa agama yang berkaitan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *