Oleh NurFarhana Zulkeply
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu dengan 22 pemimpin muda dari 12 negara yang menghadiri AZM Global Leaders Kuala Lumpur Summit 2026 bagi berkongsi pandangan mengenai cabaran kepimpinan dalam dunia yang semakin kompleks dan pelbagai.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata kepimpinan dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian budaya dan latar belakang memerlukan hikmah, kebijaksanaan serta kesabaran bagi memastikan setiap keputusan yang diambil mampu memberi manfaat kepada semua pihak.
Beliau turut menekankan bahawa seseorang pemimpin perlu sentiasa bersedia untuk belajar, menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu dan menerima perubahan tanpa mengabaikan nilai asas seperti kepercayaan, akhlak serta integriti.
Menurut beliau, keseimbangan antara inovasi dan pegangan kepada prinsip merupakan elemen penting dalam membentuk kepimpinan yang berkesan serta mampu menghadapi cabaran semasa.
Anwar turut mendoakan agar pengasas projek berkenaan, Muna AbuSulayman, bersama para peserta yang terpilih terus diberi kekuatan dalam menjayakan inisiatif membina jaringan kerjasama merentas negara dan latar belakang.
Beliau berkata usaha tersebut diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa serta memperkukuh hubungan antarabangsa demi kepentingan bersama pada masa hadapan.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L