HAT YAI: Pusat beli-belah Central di sini, bakal menjadi pusat bantuan kepada semua pelancong, termasuk dari Malaysia, jika mereka menghadapi masalah atau terkesan akibat bencana alam di bandar ini.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata pusat beli-belah itu akan menjadi tempat berkumpul dan penghantaran ke kawasan selamat sekiranya pelancong terkandas akibat banjir yang mungkin berlaku di bandar itu.
Katanya, kewujudan pusat bantuan itu adalah hasil kerjasama Majlis Industri Pelancongan Wilayah Songkhla, Persatuan Hotel Hat Yai dan pusat beli-belah berkenaan.
“Ini inisiatif diambil pihak berkenaan sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir sebagaimana yang berlaku tahun lalu.
“Oleh itu pelancong, khususnya dari Malaysia yang terkandas akibat banjir tidak perlu bimbang dan mereka boleh menghubungi pasukan penyelamat untuk dikumpulkan di Central Hat Yai sebelum dihantar pulang,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan di bandar itu sudah mengambil pelbagai langkah untuk membantu semua pihak yang berdepan masalah dan memastikan keselamatan pelancong dengan mewujudkan zon selamat.
Menurutnya, dalam banjir besar yang melanda bandar itu pada akhir November tahun lalu, lebih 6,000 pelancong Malaysia terkandas serta memerlukan operasi pemindahan dan bantuan.
Ahmad Fahmi menasihatkan rakyat Malaysia ke Thailand terutama ketika musim tengkujuh sekarang, supaya sentiasa memantau maklumat dan ramalan cuaca, mengambil insurans perjalanan lengkap dan memastikan keselamatan di jalan raya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
