Rapatkan Jurang Kefahaman Generasi Muda Untuk Perkukuh Perpaduan Nasional

KUALA NERUS – Usaha memperkukuh keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama perlu dipikul secara bersama, termasuk melibatkan golongan muda sebagai pewaris masa depan negara.

Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu menganjurkan Program Dialog Harmoni peringkat Negeri Terengganu 2026 yang berlangsung selama sehari di sini.

Program berkenaan menghimpunkan pelbagai pemegang taruh melibatkan pertubuhan agama, komuniti setempat serta golongan muda dari institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam usaha memperkasa kefahaman dan memperkukuh hubungan antara kaum melalui platform dialog yang lebih terbuka dan profesional.

Timbalan Ketua Pengarah JPNIN, Norzahiruddin Amin Husin berkata, program dialog seumpama itu menjadi wadah penting dalam merapatkan jurang kefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang.

“Masih terdapat segelintir golongan muda yang kurang terdedah kepada realiti kehidupan masyarakat majmuk, sekali gus mewujudkan jurang dari segi kefahaman dan interaksi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Beliau berkata, faktor persekitaran serta latar belakang komuniti setempat turut mempengaruhi tahap pendedahan generasi muda terhadap kepelbagaian budaya dan agama.

“Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan golongan muda dibentuk dengan nilai perpaduan yang kukuh agar mampu berinteraksi secara harmoni dalam masyarakat,” katanya.

Program Dialog Harmoni merupakan inisiatif yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam satu platform interaksi yang inklusif dan berhemah, bagi meningkatkan kefahaman serta mengukuhkan perpaduan melalui perkongsian pandangan secara matang.

Pelaksanaannya yang turut melibatkan pemimpin komuniti, pertubuhan agama, agensi kerajaan serta golongan muda khususnya mahasiswa dilihat selari dengan aspirasi Harmoni MADANI dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati dan hidup dalam suasana aman serta sejahtera.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *