SHAH ALAM – Kompleks PKNS Shah Alam kembali beroperasi sepenuhnya selepas semua prosedur keselamatan dipatuhi susulan insiden kebakaran yang berlaku di bangunan itu pada petang Khamis.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memaklumkan operasi premis kembali berjalan seperti biasa bermula semalam selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan bangunan berada dalam keadaan memuaskan.
Dalam satu kenyataan, PKNS menjelaskan bahawa tindakan segera telah diambil sebaik sahaja kejadian berlaku mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi melindungi keselamatan pengunjung, penyewa serta warga kerja di kompleks berkenaan.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan awal oleh pihak pengurusan fasiliti bangunan mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada panel Unit Pakej Penyejuk Udara (ACPU) yang ditempatkan di dalam bilik Unit Pengendalian Udara (AHU) di tingkat satu bangunan tersebut.
“Kejadian itu menyebabkan bekalan elektrik dan sistem pendingin hawa di kawasan yang terjejas dihentikan sementara sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” menurut kenyataan berkenaan.
Susulan insiden itu, pihak pengurusan Kompleks PKNS Shah Alam segera mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan dengan melaksanakan proses pengosongan bangunan Fasa 1 melalui sistem siar raya, sekali gus memastikan semua individu di dalam premis dapat keluar dengan selamat.
PKNS turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang bertindak pantas mengawal kebakaran dalam tempoh singkat sehingga berjaya menghalang api daripada merebak ke bahagian lain bangunan.
Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan lanjut turut dijalankan sebelum kompleks dibenarkan beroperasi semula bagi memastikan semua aspek keselamatan, termasuk sistem utiliti dan kemudahan bangunan, berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan hanya akan disahkan oleh JBPM selepas proses siasatan teknikal selesai dijalankan.
PKNS menegaskan pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melengkapkan siasatan selain memastikan aspek keselamatan bangunan sentiasa dipertingkatkan bagi menjamin kesejahteraan semua pengguna kompleks.
Pada Khamis, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan kebakaran di Kompleks PKNS Shah Alam berjaya dikawal tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L