JS-SEZ: Onn Hafiz pertahan pelan induk, jawab kenyataan Perdana Menteri

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kenyataan beliau berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak bertujuan mencetuskan sebarang polemik atau mencela mana-mana pihak, sebaliknya dibuat bagi memastikan maklumat berkaitan inisiatif strategik tersebut disampaikan secara tepat dan tidak mengelirukan.

Beliau berkata, sebagai sebuah projek ekonomi berimpak tinggi yang melibatkan kerjasama Malaysia–Singapura, setiap kenyataan berkaitan JS-SEZ perlu berasaskan fakta jelas kerana ia memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur serta hala tuju pembangunan negeri.

Onn Hafiz merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyifatkan beliau sebagai menggunakan isu Pelan Induk JS-SEZ sebagai bahan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor itu menjelaskan, fokus utama kerajaan negeri adalah untuk memastikan pelaksanaan pelan berkenaan berjalan mengikut perancangan asal demi kepentingan ekonomi Johor dan negara.

“Sebagai kerajaan negeri, kita bertanggungjawab memastikan setiap inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual serta dipercepatkan bagi memberi kepastian kepada pelabur,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan, Pelan Induk JS-SEZ adalah dokumen milik Kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura seperti yang didakwa dalam sesetengah persepsi, sebaliknya hanya melalui proses libat urus serta maklum balas daripada republik berkenaan yang menurutnya telah selesai.

“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurut Onn Hafiz, kekeliruan timbul apabila terdapat gambaran pelaksanaan pelan induk itu masih menunggu persetujuan pada pertemuan Leaders’ Retreat serta memerlukan tandatangan kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Singapura.

“Perkara itu tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat serta pelabur,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, Johor kini berdepan situasi di mana ramai pelabur sedang menantikan pelancaran rasmi Pelan Induk JS-SEZ kerana ia menjadi asas penting kepada keyakinan pelaburan di zon ekonomi khas berkenaan.

Katanya, pelan itu merangkumi pelbagai aspek penting termasuk hala tuju sektor ekonomi, penetapan zon pelaburan, insentif, pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat serta penyelarasan antara agensi kerajaan.

“Manfaatnya bukan sahaja kepada Bangsa Johor, malah turut memberi limpahan kepada Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam nada lebih tegas, Onn Hafiz turut menyentuh kenyataan Perdana Menteri yang menyebut beliau mungkin tidak memahami sepenuhnya proses pelaksanaan JS-SEZ.

“Jika Perdana Menteri berpandangan saya tidak cerdik, apa yang lebih merisaukan ialah apabila kenyataan tidak tepat boleh memberi gambaran yang mengelirukan kepada pelabur dan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, proses berkaitan pemeteraian JS-SEZ melibatkan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Singapura, dan bukannya di peringkat kerajaan negeri.

Beliau turut menjelaskan, beberapa tarikh sasaran pelancaran pelan induk itu telah berubah, daripada penghujung tahun 2025, kemudian 30 Mac, sebelum ditangguhkan ke suku keempat tahun yang sama.

Ketegangan pandangan antara kedua-dua pemimpin ini tercetus selepas isu pelaksanaan dan garis masa Pelan Induk JS-SEZ menjadi perhatian awam, khususnya dalam kalangan pelabur yang menantikan kepastian dasar bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang dilihat sebagai antara projek ekonomi strategik terbesar negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *