SHAH ALAM – Universiti Selangor (UNISEL) melalui Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF) telah menganjurkan Syarahan Siddiq Fadzil Siri 1 sebagai inisiatif memperkukuh budaya ilmu, pemikiran kritis dan wacana intelektual dalam membincangkan cabaran masyarakat semasa berteraskan gagasan serta pemikiran Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil.
Program yang berlangsung di Dewan Kuliah 2 (DK2), Tingkat 4, Bangunan Berlian, UNISEL Kampus Shah Alam itu menghimpunkan dua tokoh akademik dan pemikir bagi membincangkan isu kesatuan bangsa, budaya damai, keselamatan makanan, kesejahteraan manusia serta maruah golongan pengeluar makanan.
Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 100 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk guru KAFA, Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) SMK Bukit Gading, wakil WADAH Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sekolah Rendah Agama (SRA) serta beberapa organisasi dan institusi swasta seperti EZ Qurban, EZ Prihatin, Integrated Focus Learning and Consultancy dan PEAKOM.
Kehadiran peserta daripada pelbagai sektor ini mencerminkan sokongan dan minat masyarakat terhadap wacana ilmu serta perbincangan berkaitan pembangunan masyarakat dan gagasan Madani.
Syarahan pertama bertajuk “Membina Kesatuan Bangsa dalam Budaya Damai” telah disampaikan oleh Profesor Adjung UNISEL, Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman.
Syarahan tersebut mengetengahkan kepentingan kesatuan bangsa dan budaya damai sebagai asas dalam membina kehidupan masyarakat yang harmoni.
Sementara itu, syarahan kedua bertajuk “Nourishing a Madani Civilisation: Food Security, Human Wellbeing and the Dignity of Producers” telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi, Professor di International Centre for Madani Studies.
Syarahan beliau mengetengahkan hubungan antara keselamatan makanan, kesejahteraan manusia serta pengiktirafan terhadap maruah dan peranan golongan pengeluar dalam membangunkan sebuah ketamadunan Madani.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kedua-dua syarahan ini membuka ruang perbincangan yang merentasi dimensi sosial, kemanusiaan dan pembangunan masyarakat.
Perbincangan turut memberi peluang kepada peserta untuk meneliti bagaimana nilai kemanusiaan, kesejahteraan bersama dan tanggungjawab sosial dapat diterjemahkan dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurut Pengarah IPKSF, Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak, penganjuran siri syarahan ini adalah sebahagian daripada usaha institut untuk mengembangkan wacana ilmu serta memperkukuh peranan UNISEL sebagai ruang pertemuan pemikiran akademik, kepimpinan dan masyarakat.
Pemikiran Siddiq Fadzil yang merangkumi bidang bahasa, sastera, budaya, agama, kemanusiaan dan politik terus memberikan asas penting dalam memahami persoalan masyarakat dan gagasan Madani.
Antara karya beliau termasuk Fikrah Siddiq Fadzil (2022), Maqasid Syariah Dalam Ranah Demokrasi (2022) dan Islam dan Melayu (2012).
Sehubungan itu, Siri Syarahan Siddiq Fadzil dirancang sebagai platform berterusan yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti dan masyarakat umum untuk bertukar pandangan serta membincangkan isu-isu penting secara kritis dan terbuka.
Siri pertama ini akan diikuti empat lagi siri yang dirancang berlangsung dari Disember 2026 hingga Mac 2027, dengan penglibatan tokoh akademik dan profesor jemputan daripada pelbagai bidang ilmu.
Program pada 19 November 2026 bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.30 pagi, diikuti majlis pembukaan dan ucapan sambutan oleh Yang Berbahagia Profesor Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.
Kedua-dua sesi syarahan diteruskan dengan sesi soal jawab dan dialog terbuka bersama para pembicara.
Melalui inisiatif ini, IPKSF berharap agar Syarahan Siddiq Fadzil dapat menjadi wadah yang menyuburkan tradisi keilmuan, memperluas pemikiran masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan korpus ilmu berkaitan gagasan Madani.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
