KUALA LUMPUR – Stratus Global Holdings Bhd melancarkan prospektus sempena tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, dengan sasaran mengumpul kira-kira RM285 juta bagi membiayai peluasan kapasiti pembuatan, pengembangan perniagaan antarabangsa serta memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Syarikat penyedia penyelesaian sistem pengendalian bahan automatik (AMHS) bagi industri semikonduktor itu akan menerbitkan 356.25 juta saham baharu pada harga terbitan 80 sen sesaham, sekali gus meletakkan anggaran permodalan pasarannya pada RM1 bilion berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.25 bilion saham.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Stratus Global, Ryo Narisawa, berkata penyenaraian itu menjadi platform penting untuk melaksanakan fasa pertumbuhan seterusnya menerusi pengembangan kapasiti pembuatan, memperkukuh inovasi serta meningkatkan kehadiran di pasaran semikonduktor antarabangsa.
“Ketika permintaan terhadap penyelesaian pembuatan semikonduktor yang lebih maju terus berkembang, kami berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan rekod prestasi yang telah dibina serta terus mencipta nilai kepada pelanggan dan pemegang saham,” katanya pada majlis pelancaran prospektus Stratus Global di sini, hari ini.
Daripada jumlah hasil IPO itu, sebanyak RM122.6 juta akan digunakan bagi membina kemudahan pembuatan baharu di Pulau Pinang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menyokong pelaksanaan projek berskala lebih besar.
Selain itu, RM20 juta diperuntukkan bagi pengembangan operasi di luar negara melalui pembukaan pejabat jualan dan sokongan kejuruteraan di pasaran strategik industri semikonduktor, manakala RM45 juta disalurkan kepada aktiviti R&D bagi meningkatkan penyelesaian AMHS, perisian kawalan pengangkutan proprietari serta pembangunan inovasi produk.
Sejumlah RM82.4 juta pula akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian, pelaksanaan projek dan pertumbuhan perniagaan, manakala baki RM15 juta diperuntukkan untuk menampung kos penyenaraian.
Sebanyak RM122.6 juta akan digunakan bagi membina kemudahan pembuatan baharu di Pulau Pinang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menyokong pelaksanaan projek berskala lebih besar.
Mengulas mengenai kemudahan baharu di Pulau Pinang, Narisawa berkata syarikat menjangkakan peningkatan kapasiti pengeluaran sehingga lima kali ganda menerusi fasiliti baharu di Bayan Lepas, Pulau Pinang, seiring permintaan kukuh dalam industri semikonduktor yang didorong perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Syarikat sedang memperoleh fasiliti baharu dengan pelaburan melebihi RM100 juta, yang akan meningkatkan keluasan operasi daripada kira-kira 117,000 kaki persegi kepada 300,000 kaki persegi, bersamaan peningkatan sekitar 150 peratus atau 2.5 kali ganda.
“Peningkatan kapasiti itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan sasaran peningkatan sekitar 50 peratus menjelang pertengahan tahun depan, sebelum mencapai kapasiti penuh pada hujung 2027 atau awal 2028.
“Dengan peralihan kepada operasi dua syif, kapasiti boleh meningkat sehingga empat hingga lima kali ganda berbanding tahap semasa,” katanya dalam media sempena pelancaran prospektus IPO syarikat itu.
Bagi pengembangan antarabangsa, Narisawa juga menjelaskan Stratus Global memperuntukkan kira-kira RM20 juta itu untuk membuka pejabat di luar negara, termasuk di Jerman atau Eropah, Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat (AS).
Stratus Global menyediakan penyelesaian AMHS secara menyeluruh merangkumi reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan bagi mengautomasikan pemindahan serta penyimpanan bahan kritikal seperti wafer silikon dalam persekitaran bilik bersih.
Penyelesaian syarikat meliputi sistem AMHS berasaskan konveyor, AMHS hibrid dan sistem penyimpanan serta pengambilan automatik (ASRS), yang disokong oleh perisian kawalan pengangkutan proprietari.
Permohonan bagi IPO dibuka mulai pukul 10 pagi hari ini hingga pukul 5 petang pada 10 Julai, manakala penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia dijadualkan pada 21 Julai ini.
UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO Stratus Global.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L