PRN Johor: Bersama Pertaruh Lima Aku Janji, Tekad Jadi Pembangkang Berkualiti

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU —- Parti Bersama tampil lima aku janji utama kepada pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 menegaskan matlamat parti itu bakal menawarkan khidmat sebagai pembangkang yang berfungsi dan berkualiti.

Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Bersama hanya bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini dalam kenyataan media hari ini.

Menurut mereka, jumlah kerusi yang ditandingi itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri, malah parti baru berusia 44 hari itu bersikap realistik bahawa peluang untuk memenangi kesemua kerusi berkenaan adalah tipis.

“Kami hanya bertanding di 15 kerusi DUN. Jumlah itu bukan sahaja tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri, malah sebagai sebuah parti yang baru berusia 44 hari, kami realistik mengenai peluang yang ada,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Bersama memilih mengetengahkan lima Aku Janji Khidmat dengan memberi tumpuan kepada komitmen yang boleh dilaksanakan sekiranya dipilih mewakili rakyat di Dewan Undangan Negeri Johor.

Lima komitmen tersebut ialah menjadi suara rakyat, menjadi pembangkang yang konstruktif, memperjuangkan hak perumahan rakyat, memperjuangkan sistem pengangkutan awam bersepadu serta menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kami menawarkan Aku Janji Khidmat yang berasaskan lima komitmen ini kerana ia mencerminkan keikhlasan kami untuk berkhidmat kepada rakyat Johor, melangkaui pilihan raya semata-mata,” ujar mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, isu berkaitan hak perumahan rakyat, pengangkutan awam, kecekapan pentadbiran dan pengurusan kewangan merupakan bidang kuasa kerajaan negeri yang memerlukan penelitian serta pemantauan berterusan.

Justeru, Bersama berharap tawaran tersebut dapat diterima pengundi sebagai asas untuk membina sebuah pembangkang yang berfungsi, berkualiti dan mampu memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan di Dewan Undangan Negeri Johor.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *