Pas tanding 11 kerusi DUN, tampil gabungan muka baharu dan berpengalaman

MUAR – Pas mengesahkan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus melengkapkan agihan kerusi parti itu dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri yang dijadual berlangsung Julai ini.

Pengumuman senarai calon itu dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengumuman Calon Pas-PN Johor yang diadakan di Muar pada Jumaat.

Katanya, sebanyak 11 nama diumumkan mewakili Pas bagi bertanding di kerusi DUN yang telah diperuntukkan kepada parti itu menerusi rundingan bersama komponen PN.

Calon-calon yang diumumkan ialah Saifullah Abdul Wahab di DUN Jementah, Normala Sudirman (Tenang), Arshed Yahya (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan @ Sazali (Sungai Balang), Halim @ Othman Kepol (Semerah), Ahmad Rosdi Bahari (Sri Medan), Hasnul Hakimi Hussien (Endau), Yuhanita Yunan (Pasir Raja), Khirul Muntanazar Ismail (Tiram) dan Hadi Mazlan Bujang di DUN Kahang.

Menurut Ahmad Samsuri, pemilihan semua calon dibuat melalui proses penelitian yang mengambil kira pelbagai aspek termasuk rekod perkhidmatan kepada masyarakat, tahap penerimaan pengundi di kawasan masing-masing serta sumbangan yang telah diberikan kepada komuniti.

Beliau berkata, Pas mahu mengetengahkan calon yang bukan sahaja mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, malah berupaya membawa aspirasi parti dan gabungan PN sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRN kali ini.

Katanya, barisan calon yang dipilih terdiri daripada gabungan muka baharu dan individu yang mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

“Tiada istilah gagal dalam politik. Ada antara 11 calon ini pernah bertanding sebelum ini, namun kebanyakannya merupakan muka baharu. Kita bertanding untuk menang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut menegaskan pengalaman bertanding sebelum ini tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan, sebaliknya menjadi bekalan penting dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompetitif.

Pengumuman calon Pas itu menjadikan persaingan PRN Johor semakin lengkap apabila beberapa parti utama sebelum ini telah mengesahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi masing-masing.

PRN Johor kali ini dijangka menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru di beberapa kawasan berikutan penyertaan beberapa parti politik dan gabungan yang menawarkan pendekatan serta manifesto masing-masing kepada pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu, 27 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai sebelum hari pengundian rasmi diadakan pada 11 Julai 2026.

Tempoh berkempen yang bermula selepas penamaan calon dijangka menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti utama dalam usaha memenangi sokongan pengundi bagi membentuk kerajaan negeri Johor yang baharu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *