Oleh Bazli Razak
Tanjong Malim – Lebih 2,000 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima manfaat menerusi Program Dapur Kasih Bitara Siri 9/2026 yang dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (SEMANIS) di Perkarangan Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata program berkenaan bukan sekadar menyediakan makanan kepada pelajar, malah menjadi platform memperkukuh budaya kesukarelawanan dan jaringan kerjasama strategik antara universiti dengan pelbagai pihak.
Menurut beliau, program kebajikan mahasiswa yang memasuki siri kesembilan bagi tahun ini itu menerima pembiayaan bersama berjumlah RM6,000 daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Yayasan Negeri Sembilan bagi menyediakan makanan tengah hari kepada warga kampus.
Sebanyak lebih 2,000 pek makanan bersama enam pilihan minuman berjaya disediakan hasil kerjasama sukarelawan daripada BHEP, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Dapur Kasih Bitara membuktikan bahawa kebajikan pelajar adalah tanggungjawab bersama. Apabila universiti, agensi luar, alumni, pertubuhan dan mahasiswa berganding bahu, kita bukan sahaja dapat membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, malah menyemai nilai empati, kesukarelawanan dan semangat kekitaan yang menjadi teras pembentukan graduan holistik,” katanya ketika menghadiri program berkenaan, kelmarin.




Menurut beliau, sokongan berterusan pelbagai pihak termasuk Yayasan Negeri Sembilan membolehkan inisiatif kebajikan mahasiswa itu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan kesejahteraan pelajar terus terpelihara.
Program itu menyaksikan penglibatan aktif puluhan sukarelawan yang memulakan persiapan seawal jam 7.45 pagi melibatkan penyediaan bahan mentah, proses memasak dan pembungkusan makanan secara bergotong-royong sebelum agihan dilaksanakan bermula jam 12 tengah hari.
Sejak diperkenalkan, Dapur Kasih Bitara berkembang sebagai antara program kebajikan berimpak tinggi UPSI dalam membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa melalui pendekatan kolaborasi bersama agensi kerajaan, yayasan, badan korporat, alumni dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Selain menyediakan bantuan makanan, program itu turut menjadi medium pembangunan sahsiah mahasiswa menerusi penerapan nilai kepimpinan, kerja berpasukan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial selaras dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan kemanusiaan,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001