IPO Eckem terlebih langgan 8.09 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR – Tawaran awam permulaan (IPO) Eckem Holdings Bhd telah terlebih langgan sebanyak 8.09 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Penyedia penyelesaian kimia perindustrian khusus itu berkata IPOnya terdiri daripada terbitan awam sebanyak 125 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sebanyak 62.50 juta saham sedia ada.

Kumpulan itu menerima sejumlah 5,152 permohonan untuk 284.03 juta saham terbitan daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 8.09 kali.

Pengarah Eksekutif Eckem Holdings Berhad Tan Khai Jeik berkata, pihaknya berasa terdorong dengan sambutan kukuh daripada pelabur terhadap IPO syarikat.

“Sambutan positif ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kehadiran Eckem Holdings yang mantap dalam sektor kimia perindustrian khusus dan hubungan jangka panjang dengan pelanggan perindustrian,” katanya.

Beliau menjelaskan daripada jumlah itu 1,645 permohonan untuk 81.87 juta saham terbitan telah diterima di bawah bahagian awam Bumiputera (lebihan langganan sebanyak 4.24 kali ganda), manakala baki 3,507 permohonan untuk 202.16 juta saham terbitan di bawah bahagian awam Malaysia yang lain mencatatkan lebihan langganan sebanyak 11.94 kali ganda.

Kesemua 15.63 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah diambil sepenuhnya, susulan penggunaan peruntukan clawback dan peruntukan semula.

Eckem dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 3 Julai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *