IPOH – Penyedia penyelesaian kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), Kee Ming Group Bhd (Kee Ming) mencatat prestasi pasca-penyenaraian yang memberangsangkan apabila meraih kontrak bernilai keseluruhan RM91.4 juta dalam tempoh empat bulan selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Anak syarikat milik penuhnya, Kee Ming Electrical Sdn Bhd (KME), telah menerima Surat Anugerah (LOA) terbaharu yang menawarkan harga kontrak sementara bernilai RM70 juta.
Menerusi LOA berkenaan, KME akan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja subkontrak perkhidmatan kejuruteraan M&E bagi projek pembangunan loji fotovoltaik solar (PV) berskala besar di Bukit Selambau, Kedah, dengan kapasiti janaan 99.99MWac.
Kejayaan terbaharu ini menyusul selepas pengumuman pemerolehan kontrak kejuruteraan elektrik bagi pusat data hiperskala bernilai RM21.36 juta pada 9 Jun 2026, sekali gus mengukuhkan keupayaan kumpulan berkenaan dalam memperoleh projek berimpak tinggi.
Bagi projek infrastruktur solar di Kedah itu, skop kerja utama KME merangkumi pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian serta pentauliahan Kemudahan Sambungan Loji Janakuasa Suria (SPPIF).
KME turut bertanggungjawab melaksanakan pemasangan Kemudahan Sambungan Tenaga Nasional Bhd (TNBIF).
Kemudahan sambungan ini merupakan komponen penting dalam infrastruktur loji solar yang membolehkan tenaga elektrik dijana disalurkan ke grid nasional secara selamat dan cekap. Skop kerja turut melibatkan penyediaan buruh, bahan, peralatan, pengangkutan serta penyeliaan teknikal.
Garis masa projek menetapkan kerja fizikal bermula sebaik sahaja LOA diterima, dengan Tarikh Pengaktifan Semula pada 15 Disember 2026, Tarikh Operasi Permulaan pada 30 Disember 2026 dan Tarikh Operasi Komersial Berjadual menjelang 28 Februari 2027.
Pengarah Urusan Kee Ming Group Bhd, Ir Liew Kar Hoe berkata, pemerolehan berkenaan menandakan satu lagi langkah positif dalam memperkukuh peranan syarikat dalam landskap tenaga boleh diperbaharui negara.
Beliau berkata projek berskala besar dijangka meningkatkan permintaan terhadap pemain M&E berpengalaman.
Perolehan kontrak ini merupakan peristiwa penting bagi Kee Ming kerana ia mengukuhkan lagi penyertaan kami dalam sektor tenaga boleh diperbaharui Malaysia. Projek solar berskala besar memerlukan infrastruktur elektrik yang andal bagi memastikan penghantaran kuasa yang selamat dan cekap,” katanya.
Kar Hoe turut menambah bahawa pengembangan dalam sektor tenaga bersih, pembangunan industri serta infrastruktur digital akan terus menjadikan keupayaan syarikat kekal relevan dalam bidang pertumbuhan utama negara.
Sehingga 31 Mac 2026, nilai buku pesanan tertunggak Kee Ming berada pada paras kukuh RM151.9 juta.
Dengan kedua-dua projek utama dijadualkan siap sebelum akhir TK2027, kumpulan berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta aset bersih syarikat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L