PRN Johor: Bersama Sasar 15 Kerusi, Tumpu Kawasan Tradisi BN

PETALING JAYA – Parti Bersama Malaysia mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk beberapa kawasan yang sebelum ini dimenangi oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataan pada Isnin, parti itu memaklumkan pemilihan kerusi dibuat berdasarkan analisis demografi pengundi, pola sokongan politik serta dapatan kaji selidik yang dijalankan sepanjang enam bulan lalu.

Antara kerusi yang dikenal pasti ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.

Menurut Bersama, keputusan tersebut turut mengambil kira tahap sokongan semasa terhadap parti di peringkat akar umbi, termasuk jumlah keahlian di kawasan Parlimen berkaitan serta kecenderungan politik dalam kalangan ahli setempat.

Parti itu menjelaskan bahawa proses pemilihan kerusi dan calon dibuat secara teliti dengan menilai kesesuaian individu yang bakal diketengahkan, termasuk perintis parti di Johor serta sukarelawan yang aktif dalam gerakan parti.

Sehubungan itu, Bersama menggesa ahli dan orang ramai yang berminat untuk terlibat dalam kempen pilihan raya supaya mendaftar sebagai sukarelawan di platform rasmi parti, termasuk sebagai ejen mengundi bagi membantu operasi pilihan raya di kawasan yang ditandingi.

Dalam masa sama, Bersama turut mengumumkan pelancaran platform kempen bersepadu yang membolehkan ahli dan sukarelawan dari seluruh negara menyertai aktiviti pilihan raya mengikut tarikh, lokasi dan jenis tugasan yang dipilih.

Menurut parti itu, pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan model kempen politik moden yang lebih berasaskan penyertaan rakyat dan sukarelawan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada perbelanjaan kempen yang besar.

Terdahulu, Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli memaklumkan seramai 73 individu telah menawarkan diri untuk menjadi calon parti dalam PRN Johor, dengan senarai pendek calon dijangka diumumkan pada Jumaat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *