Titah Adendum: Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan tak akan didedahkan - Dr Zaliha

PH Johor Pertaruh Generasi Baharu, Senarai Calon Hampir Dimuktamadkan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Johor dijangka tampil dengan barisan calon yang lebih segar dan berorientasikan masa depan apabila majoriti calon yang bakal ditampilkan dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN-16) terdiri daripada muka baharu, termasuk golongan profesional dan anak muda.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, rundingan pembahagian kerusi dan pemilihan calon kini berada di peringkat akhir dengan hampir keseluruhan senarai telah dimuktamadkan.

Menurut beliau, hanya satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dalam proses perbincangan antara parti komponen, termasuk kerusi Puteri Wangsa yang menjadi antara kawasan terakhir yang belum diputuskan.

“Secara keseluruhannya senarai calon hampir selesai. Kebanyakan perkara telah dipersetujui dan hanya beberapa kerusi yang masih memerlukan keputusan akhir antara parti komponen.

“Setakat ini DAP telah memuktamadkan senarainya, manakala PH pula hanya mempunyai satu atau dua kerusi yang masih dalam perbincangan termasuk Puteri Wangsa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan PH menjelang pengumuman rasmi calon yang dijadualkan berlangsung Isnin depan.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menjelaskan, isu utama yang masih dibincangkan membabitkan tuntutan PKR untuk bertanding di DUN Puteri Wangsa, sedangkan secara tradisinya parti itu lebih sinonim dengan kerusi DUN Larkin.

Bagaimanapun beliau yakin segala rundingan akan dapat diselesaikan dalam semangat kerjasama antara parti-parti komponen sebelum hari penamaan calon.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor mendedahkan bahawa kira-kira 75 peratus calon yang diketengahkan oleh parti itu terdiri daripada muka baharu.

Menurut beliau, hampir separuh daripada calon baharu tersebut berusia bawah 40 tahun dan merupakan anak tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian strategi PH untuk membawa imej pembaharuan serta menawarkan kepimpinan generasi baharu kepada pengundi Johor.

“Kita mahu menampilkan kombinasi pengalaman dan tenaga baharu. Ramai calon yang diketengahkan terdiri daripada individu yang aktif dalam masyarakat serta mempunyai rekod kerja yang baik di kawasan masing-masing,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau sendiri bertanding dalam PRN Johor kali ini, Aminolhuda tidak menolak kemungkinan tersebut namun menyerahkan keputusan kepada kepimpinan parti.

“Tengok kepada keperluan parti dan kesesuaian kawasan. Jika diberikan amanah dan ia boleh membantu perjuangan parti, saya akan mempertimbangkannya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut menyatakan kesediaan untuk bertanding sekiranya diarahkan oleh parti.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, sebagai anggota parti beliau sentiasa bersedia menerima sebarang tugas yang diberikan demi memastikan kemenangan PH dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Sebagai orang parti, kita perlu sentiasa bersedia. Namun fokus utama saya ketika ini bukan soal bertanding atau tidak, sebaliknya memastikan PH berjaya meningkatkan prestasi dan memenangi sebanyak mungkin kerusi,” katanya.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata seluruh jentera PKR Johor kini sedang memberi tumpuan kepada persiapan pilihan raya dan usaha mengukuhkan sokongan rakyat terhadap gabungan tersebut.

Menurut beliau, soal calon bukan keutamaan ketika ini kerana keputusan muktamad akan diumumkan oleh kepimpinan tertinggi PH dalam masa terdekat.

“Kita fokus kepada kerja lapangan dan gerak kerja pilihan raya terlebih dahulu. Soal calon akan diumumkan pada waktunya,” katanya.

PRN Johor kali ini dilihat sebagai medan penting untuk PH menilai tahap sokongan rakyat selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar apabila menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan dan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP menyumbang 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing memperoleh satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi sementara MUDA meraih satu kerusi.

Dengan pertaruhan lebih ramai calon baharu kali ini, PH berharap dapat menawarkan naratif perubahan serta memperkukuh daya saing gabungan itu dalam usaha mencabar dominasi BN di negeri berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *