LISBON – Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo mengisytiharkan Lionel Messi sebagai pemain terbaik sepanjang zaman tanpa sebarang ruang untuk berdebat lagi selepas bintang Argentina itu meledak hatrik sensasi ketika menentang Algeria.
Persembahan luar biasa itu menyaksikan bintang Inter Miami terbabit memimpin juara bertahan, Argentina mencatatkan kemenangan 3-0 dalam aksi pembukaan Piala Dunia, sekali gus membuatkan Ronaldo terpukau.
Bercakap kepada media Portugal, A Bola selepas perlawanan, Ronaldo menghamburkan pujian melambung kepada Messi atas persembahan penentunya dan menegaskan perdebatan mengenai siapa pemain terhebat sepanjang zaman (GOAT) sepatutnya sudah terkubur.
Messi mengemudi Argentina melakar kemenangan bergaya di Kansas City untuk memastikan penyandang juara itu memulakan langkah mempertahankan takhta dengan langkah kanan.
“Sudah tiba masanya untuk dunia berhenti berdalih dan menerima hakikat beliau (Messi) adalah pemain terbaik sepanjang zaman,” kata Ronaldo.
“Beliau terus membuktikannya pada setiap musim dan di pentas Piala Dunia, namun masih ada pihak yang meraguinya. Ini adalah malam bersejarah yang tidak akan dilupakan dan akan kekal dalam buku sejarah selama-lamanya.”
Aksi bertenaga itu menyaksikan Messi melakar sejarah peribadi apabila menjaringkan hatrik pertamanya di pentas kejohanan terbesar dunia itu.
Tiga gol berkenaan melonjakkan jumlah gol keseluruhannya di Piala Dunia kepada 16 gol, sekali gus memintas kedudukan Ronaldo dan menyamai rekod legenda Jerman, Miroslav Klose, sebagai penjaring terbanyak bersama dalam sejarah kejohanan.
Mengulas mengenai pencapaian itu, Ronaldo menambah: “Rekod dicipta untuk dipecahkan dan individu yang memecahkannya kali ini langsung tidak mengejutkan mana-mana peminat bola sepak di dunia. Tambahan pula, Argentina adalah juara bertahan kejohanan ini,”.
Persembahan klinikal itu sekali gus mengelakkan Argentina daripada berdepan kejutan dalam aksi pembukaan seperti mana yang berlaku apabila mereka tewas mengejut kepada Arab Saudi pada Piala Dunia Qatar 2022.
Ketika Messi menikmati malam gemilang, seteru utamanya Cristiano Ronaldo pula berdepan malam yang amat mengecewakan bersama Portugal.
Menentang DR Congo, penyerang veteran itu gagal memberikan impak sehinggakan skuad kendalian Roberto Martinez terikat 1-1.
Ronaldo mensia-siakan beberapa peluang keemasan pada babak kedua, sekali gus menyaksikan beliau kini gagal meledak gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut di kejohanan penting.
Nasib berbeza yang menimpa dua ikon bola sepak dunia ini menguatkan lagi kenyataan Ronaldo mengenai hierarki kehebatan bola sepak moden, apatah lagi Messi dengan mudah mengetepikan kecederaan hamstring sebelum ini untuk merobek kubu Algeria.
Susulan kemenangan bergaya itu, Argentina kini mengalihkan fokus untuk mengekalkan momentum dalam Kumpulan B bagi memburu gelaran sebagai pasukan ketiga dalam sejarah yang berjaya mempertahankan kejuaraan dunia.
Anak buah Lionel Scaloni akan kembali turun beraksi pada Isnin menentang Austria, manakala Ronaldo dan Portugal bersiap sedia menentang Uzbekistan untuk memburu kemenangan pertama mereka. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L